Terdapat segelintir individu yang gemar meletakkan perhiasan di kenderaan mereka termasuk melekat ‘sticker’.
Namun, ada di antaranya didapati melampaui batas apabila bertindak meletakkan pelekat berunsur lucah.
Artikel Berkaitan: Temui Gambar Lucah Dalam Telefon Bimbit, Isteri Bertindak Belasah Suami
Hukum haram

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa tindakan meletakkan pelekat yang memaparkan simbol lucah adalah haram.
Perbuatan ini bercanggah dengan tuntutan sifat haya’ (malu), membawa kepada fitnah dan bercanggah dengan maqasid syarak.
Islam adalah agama yang amat mementingkan aspek moral, kesopanan dan perlindungan maruah diri serta masyarakat. Nilai malu (al-Haya’) dianggap sebagai perhiasan iman yang menjadi benteng daripada perbuatan maksiat dan tingkah laku yang menjatuhkan martabat seseorang.
Aurat bukan sahaja merujuk kepada sebahagian badan yang wajib ditutup, malah ia turut merangkumi semua perkara yang boleh menjurus ke arah rangsangan seksual.
Oleh itu, agama Islam amat menegaskan tentang kepentingan menjaga aurat dan sifat malu supaya penganutnya sentiasa menjaga akhlak dengan baik.
Meletakkan pelekat (stiker) yang memaparkan gambar lucah atau kemaluan secara terang-terangan di tempat awam yang mudah dilihat, seperti pada kenderaan, merupakan tindakan yang secara langsung menghilangkan sifat malu dan secara tidak langsung mendorong penormalisasian paparan aurat atau elemen seksual dalam kalangan masyarakat.
Gambaran unsur lucah

Selain itu, gambaran tentang organ kemaluan juga adalah salah di sisi Islam meskipun hanya bersifat lakaran.
Penggunaan gambar atau simbol yang melambangkan organ kemaluan, sekalipun ia bukan representasi lakaran manusia sebenar atau lukisan realistik, dikategorikan sebagai taswir (perbuatan menggambarkan) yang menjurus kepada unsur lucah dan tidak bermoral.
Dalam konteks syarak, perbuatan sebegini melanggar adab kesopanan awam (al-adab al-‘ammah) dan ia juga bercanggah dengan maqasid syarak iaitu menjaga agama dan akal.
Walaupun tindakan tersebut dianggap sebagai seni atau gurauan, namun ia dilarang dalam agama berikutan dilihat mampu menjejaskannya moral masyarakat.
Mempamerkan simbol-simbol yang merujuk secara jelas kepada organ seksual adalah diklasifikasikan sebagai fahisyah (perkara keji) dan wajib dijauhi.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
The post Apa Hukum Lekat ‘Sticker’ Lucah Di Kenderaan? Ini Penjelasan Jabatan Mufti first appeared on OHBULAN!.





