
Sepanjang berkecimpung dalam dunia ‘content creator’, pelakon, Aizat Saha tidak pernah terlintas untuk menghasilkan kandungan yang menggunakan nama mana-mana selebriti tanah air apatah lagi dijadikan bahan jenaka.
Jadikan artis bahan konten

Aizat atau nama lengkap Mohd Aizat Saharuddin, berkata, dia lebih selesa menghasilkan kandungan hanya berkaitan dirinya tanpa menyentuh peribadi individu lain.
Saya mengambil pendekatan untuk tidak melibatkan mana-mana artis mahupun menggunakan nama mereka dalam setiap konten yang dihasilkan.
Kalau dilihat atau mungkin ramai perasan, konten saya semua melibatkan diri sendiri, tidak melibatkan mana-mana pihak.
Kita tidak tahu, sama ada orang yang kita jadikan bahan konten itu berasa selesa atau tidak.
Sebolehnya, jangan libatkan pihak lain. Apatah lagi guna nama seseorang untuk jadi bahan jenaka.
Aizat berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama Aizat Saha dan HeetamPuteh berkongsi rezeki yang berlangsung di sebuah hotel di Cyberjaya, baru-baru ini.
Pada majlis sama, turut berlangsung pelancaran drama pendek bersempena Aidilfitri berjudul Tok Babah lakonan Aizat Saha, Zaidi Omar, Bibi Qairina, Mal Hamka, Zarif Ghazzi dan ramai lagi.
‘Influencer over limit’

Diminta mengulas mengenai pempengaruh masa kini yang dikatakan sudah melampaui batas atau ‘over the limit’, Aizat menjawab pengalaman akan mematangkan mereka.
Mungkin kebanyakkan pencipta kandungan sekarang datang dari kalangan yang usia muda, mereka dalam proses membesar dan dewasa.
Mereka perlukan banyak pengalaman dan saya percaya semakin mereka dewasa mereka akan faham apa yang perlu dan tidak dalam menghasilkan konten.
Biarlah mereka buat kesilapan sekarang untuk dijadikan pengajaran pada masa akan datang.
Tambah Aizat lagi, pencipta kandungan seharusnya menggunakan pengaruh yang ada untuk menyebarkan perkara positif kepada pengikut mereka.
Tidak boleh hidup berpegang dengan jumlah pengikut yang ramai. Pengikut sekarang juga sudah bijak untuk buat keputusan selepas melihat pempengaruh yang mereka ikuti.
Kalau boleh gunakan pengaruh yang ada dan pengikut yang ramai untuk sebarkan contoh yang baik.





