Pengerusi Lembaga Kelantan Selatan (Kesedar), Zawawi Othman akan meneruskan samannya terhadap Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berhubung kenyataan yang dianggap memutar belit isu agensi berkenaan.
Zawawi berkata, penilaian sedang dilakukan oleh peguam sebelum tindakan selanjutnya diambil terhadap pemimpin pembangkang terbabit.
"Saya sudah lantik peguam, peguam saya akan maklumkan tindakan lanjut akan diambil terhadap Takiyuddin.
"Kita (Kesedar) akan perbetulkan apa yang mereka kata (berhubung tuduhan terhadap Kesedar).
“Kita akan buat tuntutan atas nasihat peguam," katanya ketika sidang media di Gua Musang, hari ini.
Pada 9 Ogos lalu, Takiyuddin mendakwa dia dipanggil polis susulan kenyataannya ketika ceramah bahawa Kesedar tidak memproses beribu lot tanah untuk diluluskan kerajaan negeri.

Kata Takiyuddin, dia tetap mempertahankan kenyataannya itu meskipun berdepan ugutan tindakan undang-undang serta laporan polis yang dibuat Pemuda Umno.
“Polis telah panggil, kita akan pergi, cuma tak sempat pergi lagi sebab sibuk. Kerana ada laporan polis dari Pemuda Umno kata saya ugut, ugut ke macam itu?
“Jangan main laporan polis, jangan main di mahkamah, tapi kalau nak main sungguh tak apa kita mainlah lepas ini,” katanya ketika berceramah di Sungai Asap A di Gua Musang di Kelantan.
Takiyuddin berkata adalah "pondan" jika isu itu dibawa ke mahkamah , namun mahukan isu yang dibangkitkan ketika pilihan raya dijawab di ceramah politik.
Mengulas lanjut, Zawawi berkata Takiyuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak bermoral dengan menggelar seseorang individu sebagai pondan.
"Sepatutnya ucapan tak bermoral tidak sepatutnya berlaku. Menyatakan sifat saya yang pondan adalah imej yang tak baik," katanya.
Mengulas lanjut, Zawawi turut membidas pemimpin PAS yang didakwanya jahil dalam isu pemilikan tanah apabila memainkan persoalan tanah peneroka Kesedar.





