Polis menahan seorang wanita tempatan dan seorang pengawal keselamatan warga Nepal selepas Jalur Gemilang dan bendera Johor dikibar secara terbalik di sebuah kilang di kawasan perindustrian Indahpura.
NST memetik Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee sebagai berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 34 dan 48 tahun itu ditangkap pagi semalam selepas gambar bendera terbalik itu tular di media sosial.
Kedua-dua mereka direman empat hari sehingga 21 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar), Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kesalahan berkenaan berkaitan penggunaan lambang kebangsaan secara tidak wajar, kelakuan yang berpotensi menggugat ketenteraman awam, perbuatan yang menimbulkan kegentaran awam serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian. Kesemua kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara dan denda.
Pengawal keselamatan itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Tan berkata, pengawal keselamatan berkenaan dipercayai memasang bendera tersebut, manakala wanita terbabit mengarahkannya untuk memasangnya.
Gambar bendera berkenaan pada mulanya dimuat naik di Facebook dan Threads sebelum tersebar luas di talian. Kilang berkenaan ditutup sementara selepas insiden itu.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Jafni Md Shukor berkata kejadian itu dipandang serius kerana kedua-dua bendera berkenaan melambangkan identiti, maruah dan kedaulatan negara serta negeri.
Menurutnya, kejadian itu tidak boleh dianggap sebagai kesilapan kecil atau dibiarkan tanpa tindakan.





