Sebuah kilang di Johor diarahkan tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor secara terbalik.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Jafni Md Shukor berkata tindakan oleh MPKU itu selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan di bawah Undang-Undang Kecil Lesen Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian 2019, termasuk peruntukan yang mengawal paparan bendera dan penutupan premis.

Setakat ini, masih belum jelas bagaimana bendera berkenaan boleh dipasang terbalik, sama ada ditiup angin hingga beralih kedudukan ataupun tersilap gantung.
“Sehubungan itu, MPKU telah mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan aku janji. Kedua-dua bendera yang dipasang secara tidak betul itu juga telah diperbetulkan dengan serta-merta.
“Pegawai Daerah Kulai melalui Pejabat Daerah Kulai turut mengambil tindakan susulan serta menyelaras perkara ini bersama MPKU dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya dilaksanakan dengan segera mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata Jafni.
Pada masa sama, dia berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan mengenai perkara itu dan pengarah syarikat akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.
“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih.
“Saya mahu memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Negeri Johor: hormatilah Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor.
“Pastikan setiap pemasangan bendera dibuat dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab. Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri.
“Kita akan menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca serta tanggungjawab pihak terlibat, namun pendirian kita jelas — maruah negara mesti dipelihara, maruah negeri Johor mesti dijunjung, bendera mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan.” katanya lagi.
Dalam reaksi segeranya, Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Johor kerana pantas bertindak dengan menyita kilang tersebut.
Ini sepatutnya dilakukan bukan dengan membela mereka yang sengaja pasang bendera secara terbalik
“Tahniah kerajaan Johor,” katanya.





