32.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | PRN Melaka: Siapakah pilihan BN?

    Shopee Sale

    Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuka ruang perbincangan tentang arah kerjasama politik di negeri itu.

    Menurut beliau, kepimpinan BN masih belum mencapai kesepakatan walaupun terdapat kecenderungan dalam kalangan pemimpinnya untuk meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

    Kenyataan itu dibuat ketika rundingan politik masih berlangsung. Setakat ini, belum ada keputusan rasmi sama ada BN akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), membentuk persefahaman dengan PN seperti di Negeri Sembilan atau memilih untuk bertanding secara berasingan.

    Oleh itu, kenyataan Abdul Hadi tidak semestinya bermaksud kerjasama BN–PN pasti berlaku. Sebaliknya, ia menunjukkan proses tawar-menawar masih berjalan dan setiap gabungan sedang menilai pilihan paling sesuai dengan kedudukan serta kepentingan masing-masing.

    Kenyataan terbuka boleh membawa beberapa maksud. Selain menjelaskan pendirian parti, ia boleh menjadi isyarat kepada rakan rundingan, mengukur respons akar umbi dan menyediakan pilihan lain sekiranya persetujuan tidak dicapai.

    Apabila Abdul Hadi menyatakan PAS dan PN mempunyai strategi serta alternatif, ini menunjukkan kesediaan mereka menghadapi lebih daripada satu kemungkinan.

    BN menjadi tumpuan

    BN kini berada di tengah-tengah percaturan politik Melaka. Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, mengibaratkan BN sebagai “anak dara cantik” yang menjadi perhatian beberapa gabungan.

    Kiasan itu menggambarkan kedudukan BN yang mempunyai nilai tawar-menawar menjelang pilihan raya. BN perlu mempertimbangkan hubungannya dengan PH dalam Kerajaan Persekutuan, pengalaman kerjasama dengan PN di Negeri Sembilan serta pandangan akar umbi Umno di Melaka.

    Jika BN meneruskan kerjasama dengan PH, pilihan itu boleh membawa naratif kesinambungan dan kestabilan pentadbiran. Hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan juga boleh dikaitkan dengan pembangunan, pelaburan dan penyelarasan dasar.

    Bagaimanapun, kerjasama tersebut memerlukan penerangan yang jelas kerana Umno dan parti-parti dalam PH mempunyai sejarah persaingan yang panjang. Pengalaman pilihan raya negeri turut menunjukkan bahawa kerjasama di peringkat Persekutuan tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk sama di setiap negeri.

    Jika BN memilih PN pula, pengalaman Negeri Sembilan boleh dijadikan rujukan. Dalam PRN negeri itu, BN memenangi 18 kerusi manakala PN memperoleh 7 kerusi. Kedua-duanya kemudian membentuk kerajaan dengan penguasaan 25 daripada 36 kerusi. Keputusan tersebut memperlihatkan penyelarasan BN–PN boleh meningkatkan daya saing, khususnya di kawasan majoriti Melayu.

    Namun, Melaka mempunyai demografi, sejarah pilihan raya dan dinamika kepimpinan tersendiri. Pola Negeri Sembilan tidak semestinya berulang dengan cara sama. Rundingan kerusi juga boleh menjadi lebih rumit kerana BN mahu mempertahankan sebahagian besar kerusi yang dimenanginya, sedangkan PN memerlukan ruang munasabah sebagai rakan kerjasama.

    Pilihan ketiga ialah BN, PH dan PN bertanding secara berasingan. Keadaan ini boleh menghasilkan pertandingan tiga penjuru atau lebih. Di kawasan majoriti Melayu, pertembungan BN dengan PN boleh membahagikan undi Melayu dan memberikan kelebihan kepada PH jika undi terasnya kekal. Namun, BN juga boleh mendapat manfaat sekiranya sebahagian pengundi PN beralih kepada calonnya, seperti kecenderungan yang dilihat dalam PRN Johor.

    Ukuran kejayaan berbeza

    PRN Melaka membawa kepentingan berbeza kepada PAS dan Umno. Bagi PAS, negeri-negeri di selatan Semenanjung merupakan kawasan pengembangan pengaruh politik. Kedudukan PAS di Melaka tidak sama seperti di Kelantan, Terengganu atau Kedah yang mempunyai asas sokongan, jentera dan pengalaman pemerintahan lebih kukuh.

    Penyertaan PAS dalam PRN Melaka bukan sahaja berkaitan kemenangan kerusi. Pilihan raya itu juga menjadi ruang untuk memperluas kehadiran parti di luar kawasan kekuatan tradisinya. Pertambahan undi, pengukuhan jaringan akar umbi dan peningkatan penerimaan pengundi boleh dilihat sebagai perkembangan positif, walaupun tidak diterjemahkan dengan segera kepada kemenangan.

    Kerjasama dengan BN boleh membantu PAS dan PN memperoleh ruang lebih tersusun di negeri selatan. Melalui pembahagian kerusi dan penyelarasan jentera, PAS boleh bertanding di kawasan lebih sesuai tanpa berhadapan secara langsung dengan Umno. Jika kerjasama tidak berlaku, PAS masih boleh menggunakan pilihan raya itu untuk mengukur kekuatan, memperkenalkan calon dan membina sokongan bagi jangka panjang.

    Keadaan Umno berbeza. Melaka bukan wilayah baharu yang ingin ditembusi, tetapi negeri yang sedang dikuasai dan perlu dipertahankan. Prestasi Umno akan dibandingkan dengan pencapaian tersebut.

    MENARIK:  Polis perketat kawalan sempadan kekang jenayah senjata api

    Dalam konteks ini, beban politik Umno dan BN lebih besar. PAS dan PN mahu memperluas pengaruh, manakala PH berusaha menambah kerusi atau mendapatkan semula pentadbiran negeri. Umno pula perlu mempertahankan kerajaan, mengekalkan kerusi sedia ada dan menentukan bentuk kerjasama yang boleh diterima oleh kepimpinan serta akar umbinya.

    Jika BN bekerjasama dengan PH, Umno perlu menjelaskan keputusan itu kepada penyokong yang mungkin lebih cenderung kepada kerjasama dengan PN. Jika BN memilih PN, parti itu perlu menerangkan bagaimana kerjasama di Melaka dapat diselaraskan dengan hubungannya bersama PH di peringkat Persekutuan. Jika bertanding secara solo, Umno perlu menghadapi risiko pertembungan banyak penjuru dan pecahan undi.

    Kedudukan sebagai tumpuan rundingan memberikan kelebihan kepada BN, tetapi turut membawa kos bagi setiap pilihan. Bagi parti yang sedang berkembang, pertambahan beberapa kerusi boleh dianggap sebagai kemajuan. Bagi parti yang mempertahankan kerajaan, kehilangan beberapa kerusi pula boleh membawa tafsiran berbeza.

    Nilai tambah kepada PKR

    Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kerjasama dengan Umno dan BN boleh memberikan nilai tambah dalam usaha mengurangkan jurang sokongan dalam kalangan pengundi Melayu. Walaupun PKR membawa imej sebagai parti berbilang kaum, keupayaannya menembusi kawasan majoriti Melayu secara konsisten masih menjadi antara cabaran pilihan raya.

    Umno mempunyai jaringan akar umbi, pengalaman pilihan raya dan hubungan lebih lama dengan komuniti Melayu di Melaka. Jika kerjasama dapat diselaraskan dengan baik, kekuatan organisasi Umno boleh melengkapi sokongan PKR dan parti-parti lain dalam PH, khususnya di kawasan campuran serta kerusi yang mempunyai jumlah pengundi Melayu besar.

    Bagi PKR, sokongan Umno terhadap calon PH di kawasan tertentu boleh menjadi jambatan untuk mendekati pengundi Melayu yang sebelum ini lebih selesa dengan BN. Pada masa sama, BN berpotensi mendapat manfaat daripada sokongan pengundi bukan Melayu yang lebih cenderung kepada PH.

    Namun, nilai tambah tersebut bergantung pada sejauh mana pemindahan undi benar-benar berlaku. Persetujuan pada peringkat kepimpinan tidak semestinya diterima sepenuhnya oleh akar umbi. Penyokong Umno mungkin tidak secara automatik mengundi calon PKR, sebagaimana penyokong PH juga belum tentu bersedia menyokong calon BN.

    Oleh itu, kerjasama BN–PH memerlukan lebih daripada pembahagian kerusi. Kedua-duanya perlu membentuk naratif bersama yang menjelaskan tujuan kerjasama, hala tuju kerajaan negeri dan manfaatnya kepada rakyat. Pemilihan calon yang dapat diterima merentasi parti turut penting untuk mengurangkan keraguan penyokong.

    Melaka menanti keputusan

    Kemungkinan undi protes turut berkait dengan kemunculan apa yang disebut sebagai “gelombang biru” dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

    Di Johor, kemenangan besar BN memperlihatkan pengukuhan semula sokongan kepada Umno, termasuk peralihan sebahagian undi Melayu daripada PN. Di Negeri Sembilan pula, kerjasama BN–PN membantu menyelaraskan kekuatan kedua-dua gabungan, khususnya di kawasan majoriti Melayu.

    Perkembangan tersebut menunjukkan bahawa identiti Melayu-Islam masih menjadi salah satu pertimbangan dalam pembentukan kerjasama dan pola pengundian.

    Namun, perubahan sokongan turut dipengaruhi oleh kos sara hidup, prestasi kerajaan, kewibawaan calon, isu setempat dan kadar keluar mengundi. Dalam kalangan pengundi muda, kandungan yang disajikan melalui algoritma media sosial juga boleh membentuk cara mereka menerima dan menilai maklumat politik.

    Oleh itu, pengalaman “gelombang biru” dan kemungkinan berlakunya undi protes wajar diambil kira oleh BN sebagai sebahagian daripada pertimbangannya dalam menentukan bentuk kerjasama menjelang PRN Melaka.

    Bagi PAS, PRN Melaka ialah peluang untuk memperluas pengaruhnya di negeri selatan. Bagi PKR dan PH, kerjasama dengan BN berpotensi merapatkan jurang sokongan Melayu serta mengukuhkan kedudukan di kawasan campuran. Bagi Umno pula, pilihan raya ini menjadi ujian untuk mempertahankan salah satu kawasan kekuatan tradisinya.

    Pada akhirnya, satu persoalan masih menanti jawapan: antara PH dengan PN, gabungan manakah yang akan menjadi pilihan Umno dan BN untuk menghadapi PRN Melaka nanti?


    NUR AYUNI MOHD ISA pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah