31.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 22, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Roboh kuil: Senator pertahan Rayer persoal Mufti Perlis

    Shopee Sale

    Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Senator A Lingeshwaran, mempertahankan hak Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer untuk bersuara berhubung perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar.

    Menurutnya, Rayer sebagai pemimpin di peringkat nasional berhak membangkitkan kebimbangan mengenai isu yang melibatkan rumah ibadat serta keharmonian antara kaum dan agama.

    “Apabila dia menyeru supaya sentimen perkauman tidak dicetuskan, itu tidak bermakna dia sedang mencetuskan sentimen perkauman.

    “Sebaliknya, dia sedang melaksanakan hak dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin untuk menyeru semua pihak memastikan isu ini tidak menjadi semakin tegang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Kenyataan itu dibuat selepas Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik Rayer berhubung bantahan ahli parlimen itu terhadap perobohan kuil berkenaan pada 20 Ogos lalu.

    Menurut Mohd Asri perobohan tersebut merupakan aspek undang-undang dan pemilikan tanah, dengan menyatakan bahawa rumah ibadat tidak boleh dibina di atas tanah yang diceroboh.

    “Kita berada dalam sebuah negara yang ditadbir berdasarkan undang-undang, bukan di dalam hutan yang tanahnya tidak mempunyai pemilik.

    “Ahli Parlimen ini sepatutnya mengajar rakyat supaya mematuhi undang-undang, bukannya membina bangunan sesuka hati tanpa menghiraukan peraturan atau pemilikan,” katanya, merujuk kepada Rayer.

    Mengapa MB belum bersuara

    Mohd Asri berkata, membina rumah persendirian pun terikat dengan peraturan dan undang-undang, apatah lagi jika mahu menaikkan rumah ibadat.

    “Adakah terdapat mana-mana agama di dunia ini yang mengajar penganutnya untuk ‘merampas’ tanah orang lain bagi membina rumah ibadat? Jika tidak ada, maka jangan lakukan,” tegasnya.

    Dia turut menganggap Rayer memburukkan lagi keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.

    Kata Mohd Asri perobohan itu tidak mempunyai kaitan dengan politik, sebaliknya ia terkait isu penguatkuasaan dan kedaulatan undang-undang.

    “YB, jangan cetuskan sentimen perkauman atau ketegangan agama. Akibatnya terhadap negara ini boleh menjadi buruk,” katanya.

    MENARIK:  Struktur gaji jurutera perlu penilaian semula - Fadillah

    Bagaimanapun, asas sebenar perobohan itu setakat ini masih belum jelas.

    A Lingeshwaran

    Kerajaan Perlis belum menjelaskan status pemilikan tanah berkenaan, peruntukan undang-undang khusus yang dijadikan asas tindakan, notis yang dikeluarkan kepada jawatankuasa kuil atau agensi yang mengarahkan dan melaksanakan perobohan tersebut.

    Menjawab kritikan Mohd Asri, Lingeshwaran berkata, tuntutan supaya kerajaan Perlis memberikan penjelasan tidak seharusnya disamakan dengan usaha mencetuskan ketegangan kaum.

    “Mempertahankan hak dan kepentingan masyarakat bukanlah hasutan.

    “Kita mesti membezakan antara menuntut akauntabiliti kerajaan dengan mencetuskan sentimen perkauman,” katanya.

    Dia turut mempersoalkan mengapa Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah belum memberikan penjelasan secara terbuka mengenai perananan kerajaan negeri dalam perobohan itu, sedangkan Mohd Asri bercakap panjang lebar mengenai isu berkenaan.

    Walaupun menghormati hak mufti itu untuk memberikan pandangan mengenai soal agama, moral dan keharmonian sosial, Lingeshwaran berkata, menjadi tanggungjawab menteri besar untuk meredakan kebimbangan yang berkaitan dengan pentadbirannya.

    “Mengapa mufti yang menjawab isu ini sedangkan menteri besar sendiri belum menjelaskan tindakan kerajaan negeri?

    “Adakah ini keputusan kerajaan negeri? Jika ya, mengapa menteri besar tidak tampil untuk menjawab dan bertanggungjawab sendiri terhadap keputusan itu?” soalnya.

    Lingeshwaran menegaskan jika perobohan itu berpunca daripada status tanah, ketidakpatuhan terhadap undang-undang atau perkara pentadbiran, pihak berkuasa negeri, perlu menjelaskan asas tindakan tersebut.

    “Mufti boleh memberikan pandangan berkaitan keharmonian agama. Tetapi mufti bukanlah ketua kerajaan negeri dan tidak bertanggungjawab terhadap keputusan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

    Tambah Lingeshwaran lagi, penguatkuasaan yang melibatkan rumah ibadat mesti dilakukan secara telus, adil, munasabah dan berhemah.

    “Masyarakat Hindu tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya meminta keadilan, ketelusan, proses yang sewajarnya dan penghormatan terhadap rumah ibadat dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah