28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 7, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Akta 530 bakal dipinda, kebenaran bina lebih satu rumah di lot Felda

    Shopee Sale

    Kerajaan bercadang meminda Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) bagi membolehkan pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas satu lot kediaman milik peneroka Felda, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Dia berkata Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diarahkan untuk menyediakan draf pindaan akta berkenaan dalam tempoh dua bulan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sebelum dibawa ke Parlimen tahun ini.

    “Sekarang ini, lebih kurang 8,000 unit rumah siap dibina, yang diduduki sejak 31 Dis 2025...sementara kita hendak luluskan akta itu dan sebagainya, kita salurkan serta-merta utiliti air dan elektrik, segera,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda dan 70 Tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka dekat Maran hari ini.

    Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata urusan penyediaan bekalan air tersebut akan diserahkan kepada kerajaan negeri, manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) diarahkan mempercepat pemasangan bekalan elektrik ke semua 8,000 rumah berkenaan.

    Beliau berkata projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), yang dilaksanakan sejak 2013, melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,224 unit rumah membabitkan tujuh negeri iaitu Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perak.

    Perdana Menteri berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 tapak merangkumi 2,458 unit (29.8 peratus) siap dengan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC), manakala 13 tapak (2,546 unit atau 30.9 peratus) masih dalam pembinaan, dengan 12 tapak disasarkan siap secara berfasa.

    Anwar berkata pada tahun ini, projek PGBF akan dilaksanakan di Besout, Perak melibatkan 102 unit diikuti Sungai Koyan, Pahang (68 unit) dan Pasoh, Negeri Sembilan (540 unit).

    “Sebaik selesai, projek tersebut akan bersambung di Sungai Koyan (89 unit), Maokil, Johor (540 unit), Bukit Jalor, Negeri Sembilan (239 unit), Sungai Tekam, Pahang (100 unit) dan Papan Timur, Johor (539 unit).

    “Kita bersambung tahun berikutnya, Kerteh 5, Terengganu (110 unit) dan disambung dengan Palong 8 Tapak A & B, Negeri Sembilan (300 unit), barulah kita sambung dengan Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan (300 unit),” katanya.

    Dia berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan 554 unit PGBF yang terbengkalai di Bukit Aping Timur dan Pasak, Johor serta Kerteh 5, Terengganu.

    MENARIK:  ‘Siasatan ke atas Umany bercanggah perlembagaan’

    Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.

    Anwar berkata penganjuran majlis berkenaan di tanah rancangan membolehkan kos penganjuran dijimatkan berbanding diadakan di ibu kota, selain memberi limpahan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.

    “Saya minta disenaraikan beza kos adakan Hari Peneroka dekat Maran dengan di ibu kota, jauh lebih murah. Kita dapat menyelamatkan dana dan dipulangkan kepada peneroka,” katanya.

    Sementara itu, dia berkata perubahan model penjualan minyak sawit mentah menyebabkan keuntungan kilang sawit merudum sehingga menjejaskan 28 peratus ekuiti milik Koperasi Permodalan Felda (KPF).

    “Bagi menoktahkan kegelisahan ini, kita akan mengembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah tersebut kepada sistem asal seperti sebelum penyenaraian FGV. Langkah ini bakal memberi manfaat unjuran pendapatan tambahan sehingga RM42 juta kepada seluruh warga Peneroka Felda melalui KPF,” katanya.

    Di samping itu, bagi memperkasakan literasi digital kepada warga peneroka, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM15.85 juta kepada 317 buah rancangan Felda yang layak.

    Dia berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan melalui sinergi erat Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital disokong infrastruktur Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang kini merentasi rancangan dan luar bandar.

    Bagi bidang pendidikan, Anwar berkata sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 370 sekolah rendah dan menengah di kawasan Felda.

    Selain itu, dalam aspek kesihatan warga Felda, sejumlah dana tambahan berjumlah RM3 juta disediakan bagi pasukan kesihatan Skuad Maya Felda.

    Skuad berkenaan berjaya melahirkan 1,555 ahli sukarelawan dalam kalangan peneroka, belia serta generasi baharu dan melaksanakan lebih 18,000 saringan kesihatan di 371 tanah rancangan seluruh negara.

    Perdana Menteri berkata pelbagai pembaharuan penting dilaksanakan walaupun memerlukan perbelanjaan besar, namun kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperkukuh Felda dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati warga peneroka.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah