Presiden FIFA Gianni Infantino pada Rabu menggesa pengkritik supaya bertenang berhubung kontroversi perjalanan dan visa berkaitan
Piala Dunia 2026, mempertahankan pengendalian FIFA terhadap isu itu selepas diasak mengenai penafian kemasukan pengadil Somalia oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekatan yang menjejaskan beberapa pasukan, wartawan dan peminat, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada pemberita di Mexico menjelang Piala Dunia 2026, Infantino mengakui penafian kemasukan pengadil antarabangsa Somalia Omar Abdulkadir Artan adalah sesuatu yang "malang", sambil menegaskan bahawa FIFA tidak mengawal keputusan sebuah negara berdaulat.
“Malang apa yang berlaku kepada Omar, pengadil dari Somalia. Tetapi sekali lagi, kami tidak mengawal segala-galanya...Mungkin kadang-kadang ia baik untuk hanya bertenang. Kami melakukan segalanya dan cuba menyelesaikan sedaya-upaya,” kata Infantino.
Bagaimanapun, selepas seorang wartawan mencabar kenyataan itu dan menyatakan kebimbangan yang lebih meluas mengenai larangan perjalanan, sekatan visa dan perubahan pada pengaturan pasukan menjelang kejohanan, Infantino menjelaskan bahawa beliau tidak mencadangkan untuk tidak bertindak.
"Apabila saya berkata untuk bertenang, saya tidak bermaksud untuk bertenang dan tidak melakukan apa-apa," katanya.
"Maksud saya, percayakan kami bahawa kami bekerja di belakang tabir; kami cuba memahami... dan kami sentiasa cuba menjadikan situasi itu sepositif mungkin serta mencari penyelesaian."
Kerajaan Somalia pada Rabu menyatakan kekesalan atas penafian kemasukan Artan oleh AS untuk merasmikan Piala Dunia FIFA.
“Somalia akan terus berhubung dengan rakan kongsi berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini dan untuk menjaga maruah dan hak rakyatnya,” menurut kerajaan itu dalam satu kenyataan.
Seorang pegawai kanan Rumah Putih pada Selasa mempertahankan keputusan untuk menghalang beberapa peserta antarabangsa daripada memasuki AS untuk Piala Dunia, menegaskan langkah itu perlu bagi memastikan persekitaran yang selamat.
Artan, yang sepatutnya menjadi pengadil Somalia pertama yang merasmikan Piala Dunia FIFA, kembali ke Somalia dari Istanbul pada Rabu.





