Tokoh sastera dan bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid meninggal dunia pada usia 87 tahun malam tadi.
Anak kedua Allahyarham, Sabriza Abu Bakar, 58, berkata bapanya secara tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga, kira-kira 10.30 malam di kediaman adiknya di Petaling Jaya.
"Arwah berada dalam keadaan baik sebelum ini dan selera makan seperti biasa malah bertenaga menjalani rutin harian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata jenazah dibawa ke Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, di Kuala Lumpur untuk disolatkan selepas zuhur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Abu Bakar yang berasal dari Johor mempunyai empat orang anak, seorang lelaki dan tiga perempuan.
Sepanjang hayat, Allahyarham yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama dari 1996 hingga 2000 menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah berprestij atas sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan.
Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada 1987 dan memegang jawatan Setiausaha Bersama bagi Jawatankuasa Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1968.





