Professional Pickleball Association (PPA) Tour Asia mengesahkan penyertaan gelombang kedua pemain profesional bertaraf dunia yang bakal memeriahkan kejohanan Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026.
Artikel Berkaitan: PPA Asia 1000 Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026: Gabungan Aksi Pickleball Dunia & Kemeriahan Budaya Festival
Artikel Berkaitan: Pemain Pickleball Terbaik Dunia Bakal Meriahkan Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026
Gelombang kedua!

Kejohanan yang akan berlangsung dari 9 hingga 13 September 2026 di The Hood, Kuala Lumpur itu bakal menyaksikan kehadiran juara Major League Pickleball, Noe Khlif dari Perancis, yang akan membuat penampilan sulungnya di pentas Asia.
Kehadiran barisan pemain berprofil tinggi ini dijangka menyemarakkan lagi persaingan antara jaguh antarabangsa dan pemain terbaik tempatan Malaysia dalam kejohanan PPA Asia 1000 berkenaan.
Antara nama yang menjadi tumpuan ialah Noe Khlif, 28, yang kini berada di kedudukan ke-10 dunia dalam kategori lelaki. Pemain dari Perancis itu baru sahaja membantu New Jersey 5’s meraih gelaran juara Major League Pickleball 2026 bulan lalu, sekali gus menjadikan penampilan di Kuala Lumpur sebagai penampilan pertamanya di Asia.
Turut mencuri perhatian ialah pemain Amerika Syarikat, Kaitlyn Christian, yang menduduki ranking ketiga dunia dalam kategori perseorangan wanita. Pemain berusia 34 tahun itu merupakan juara dan finalis berulang kali di kejohanan PPA Asia, sekali gus hadir dengan rekod pencapaian yang cukup kukuh untuk mencabar kejuaraan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Brooke Buckner, yang berada di ranking keempat dunia dalam kategori perseorangan wanita, turut dijangka memberikan saingan sengit selepas meraih gelaran naib juara pada MB Hanoi Cup 2026 ketika membuat penampilan sulungnya di PPA Tour Asia.
Bagi kategori lelaki pula, pemain kidal dari Amerika Syarikat, Augustus “Augie” Ge, 29, yang berada di ranking ke-25 dunia, akan membuat penampilan sulungnya di Asia. Beliau hadir dengan pengalaman memenangi beberapa gelaran PPA selain pernah membantu pasukannya meraih kejuaraan Major League Pickleball pada 2025.
Seorang lagi pemain Amerika Syarikat, Len Yang, 22, yang kini menduduki ranking ke-21 dunia, turut kembali ke Malaysia selepas mencipta kejayaan pada Terbuka Malaysia 500 dengan merangkul gelaran beregu lelaki. Pemain profesional yang sedang meningkat naik itu pastinya mahu meneruskan momentum kemenangan berkenaan pada PPA Asia 1000 Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026.
Dari Jepun, Rika Fujiwara, 17 dunia dalam kategori perseorangan wanita, turut menjadi antara pemain yang bakal mencuri perhatian. Bekas pemain tenis profesional WTA itu pernah mara ke separuh akhir beregu Terbuka Perancis sebelum beralih kepada pickleball dan kini berjaya meraih pelbagai gelaran dalam kategori perseorangan wanita PPA Asia.
Pemain Jepun, Nasa Hatakeyama, 29, juga bakal memberikan saingan sengit. Pemain kidal yang sedang meningkat naik itu sebelum ini berjaya melangkah ke final kategori perseorangan lelaki pada Panas Kuala Lumpur Open yang berlangsung pada Mei lalu.
Tidak ketinggalan, wakil Malaysia, Athilla Miasara Azizul Azhar, akan menjadi antara sandaran utama negara dalam kejohanan berkenaan. Athilla yang merupakan penerima 2025 UPA Asia Trailblazer ialah pemain tempatan berkedudukan tertinggi di pentas dunia dan turut bergelar duta pickleball FILA Asia Tenggara.
Dengan kehadiran barisan pemain elit dari seluruh dunia serta wakil terbaik Malaysia, Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026 dijangka menawarkan aksi pickleball bertaraf dunia kepada peminat sukan tempatan.
Peminat berpeluang menyaksikan sendiri aksi para pemain profesional di The Hood, Kuala Lumpur dengan mendapatkan tiket atau mengikuti siaran langsung menerusi platform Tonton.
The post Noe Khlif & Kaitlyn Christian Antara Jaguh Dunia Gegar Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026 first appeared on OHBULAN!.





