Selepas sekian lama menanti, seorang warga emas akhirnya berpeluang mengalunkan iqamat buat cahaya mata pertamanya sekali gus mengakhiri penantian selama 10 tahun.
Dikenali sebagai Haji Yob, dia yang berumur 80 tahun dan isterinya, Zaleha, 42, menimang seorang puteri pada Jumaat malam minggu lalu.
“Kurniaan zuriat daripada Allah ketika ayahnya umur 80 tahun.
“Pada 9.30 malam hari Jumaat, 31 Mei 2024 puteri kami dilahirkan,” kata wanita itu.
Zaleha menyatakan bahawa perkahwinannya bersama Haji Yob pada tahun 2014 merupakan perkahwinan yang kedua dan dia tidak berhasrat untuk memiliki cahaya mata.
Namun dia menyatakan rasa syukur dan menganggap kelahiran puteri mereka itu sebagai rezeki yang dikurniakan daripada Allah.
Dengan jarak umur sebanyak 38 tahun, mereka tidak menjadikannya sebagai satu halangan untuk membesarkan anaknya.
“Alhamdulillah, saya dan suami sangat gembira atas kelahiran anak sulung.
“Harapan saya agar dapat mendidik dan membesarkan anak ini menjadi insan,” kongsinya.
Kisah pasangan itu mendapat sambutan warganet yang rata-rata teruja apabila video Haji Yob mengiqamatkan puterinya tular di laman sosial.
Mereka mengucapkan tahniah dan menitipkan doa agar puteri pasangan itu membesar dengan sihat.
“Subhanallah. Umur 80 tidak nampak seperti 80. Kelihatan seperti 60an sahaja dan sihat. Alhamdulillah rezeki pakcik dan isteri mendapat zuriat,” kata seorang warganet.
“Ya Allah, tahniah pakcik dan isteri. Tiada kata-kata yang dapat digambarkan. Seperti saya 17 tahun menanti Allah kurniakan anak sulung,” kata seorang lagi warganet.





