Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata dia tiada masalah sekiranya dicabar oleh menteri agama Zulkifli Hasan dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, anggota parlimen Perikatan Nasional (PN) itu mengingatkan bahawa jentera kerajaan tidak seharusnya digunakan bagi tujuan kempen.
Hasnizan (atas)berkata, sebagai senator Dewan Negara, Zulkifli tidak mempunyai kawasan pilihan raya, dan oleh itu, tiada peruntukan kawasan pilihan raya.
"Saya masih nak ingatkan kiranya menggunakan dana kementerian ianya melibatkan 222 kawasan parlimen di seluruh negara...itu sahaja nak bagitahu.
"Nak bertanding tak ada masalah, kiranya gunakan dana kementerian hati-hati kena ingat kawasan-kawasan lain. Dan kiranya menggunakan jentera kerajaan untuk bantu tak betul kaedah itu, mereka tak ikhlas nak bantu, mereka terpaksa disebabkan arahan.
"Kalau nak sokongan dari kakitangan kerajaan (pengundi Hulu Selangor) jangan kerah dia orang. Saya cadangkan sahaja kalau nak undi dia oranglah," kata Hasnizan.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Zulkifli yang semakin aktif turun padang di Hulu Selangor mencetuskan persoalan jika tokoh akademik dan pendakwah itu sedang dipersiapkan sebagai calon PKR bagi PRU16.
Menurut sumber parti yang rapat dengan kepimpinan tertinggi PKR, terdapat “isyarat” daripada pucuk pimpinan supaya Zulkifli mempergiatkan gerak kerja di kawasan berkenaan sebagai persediaan awal menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Memang ada isyarat arahan daripada pucuk pimpinan supaya Zulkifli mula bergerak aktif di
Semakan Malaysiakini di media sosial mendapati sejak Februari lalu, Zulkifli menghadiri sekurang-kurangnya dua hingga tiga program berskala besar di kawasan Parlimen Hulu Selangor.
Malaysiakini telah cuba mendapatkan reaksi Zulkifli dan PKR pusat berhubung spekulasi tersebut namun belum menerima maklum balas.





