Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membatalkan pelantikan Azam Baki sebagai ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
“Anwar telah lama menjadikan antirasuah, reformasi dan tadbir urus baik sebagai teras komitmen politiknya.
“Jika dia membenarkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM yang masih menjadi subjek kontroversi awam yang serius memasuki Lembaga Penasihat NFCC, ia akan menjejaskan dengan teruk kredibiliti agenda reformasi kerajaan,” kata pengerusi kumpulan itu, Koong Hui Yein.
Di bawah Akta NFCC 2019, pelantikan ke Lembaga Penasihat NFCC dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, dan pelantikan itu juga boleh dibatalkan oleh Agong pada bila-bila masa atas nasihat perdana menteri.

Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan jika undang-undang menetapkan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat kabinet atau seorang menteri, Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.
Sementara itu, Koong berkata di bawah Seksyen 5(6) Akta NFCC, perdana menteri perlu mempertimbangkan pelbagai kriteria ketika menasihati Agong berhubung pelantikan ahli Lembaga Penasihat NFCC.
Terpalit kontroversi
Ini termasuk kewibawaan, kedudukan calon, serta kemungkinan wujud sebarang konflik antara kepentingan NFCC dengan apa-apa kepentingan yang dimiliki atau diwakili individu berkenaan.

“Anwar mesti menjelaskan bagaimana pelantikan ini memenuhi keperluan undang-undang berkaitan kewibawaan, kedudukan dan konflik kepentingan,” kata Koong.
Dia menegaskan Azam dan SPRM pernah terpalit kontroversi sepanjang tempoh Azam menjadi ketua pesuruhjaya SPRM, yang dilanjutkan Anwar sebanyak tiga kali sebelum tamat pada Mei.
Ini termasuk kontroversi berkaitan pemilikan saham Azam sebelum ini yang didakwa melebihi had yang dikenakan terhadap penjawat awam, dakwaan salah guna kuasa dan ugutan jenayah, serta dakwaan pakatan sulit beberapa pegawai SPRM dengan “mafia korporat”.
BACA BERKAITAN:
PANDUANKINI | Mafia korporat - Ini yang anda perlu tahu
Selain menuntut pelantikan Azam dibatalkan, Koong turut menggesa kerajaan menjawab tuntutan masyarakat sivil dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat kontroversi “mafia korporat” dan dakwaan berkaitan yang membabitkan kepimpinan tertinggi SPRM.
“Kerajaan mesti menjelaskan apa yang menjadikan Azam begitu penting sehingga pentadbiran Anwar sanggup mengekalkannya dalam sistem pencegahan rasuah dan jenayah kewangan negara, sedangkan kebimbangan utama awam berkaitan integriti masih belum dijelaskan, suruhanjaya siasatan diraja belum ditubuhkan, dan kebertanggungjawaban bebas belum selesai,” tambahnya.
Dua siasatan
Azam dan SPRM menjadi tumpuan dua siasatan berasingan: satu berhubung pemilikan saham pegawai antirasuah tertinggi negara itu, dan satu lagi berhubung dakwaan manipulasi korporat.
SPRM sebelum ini menafikan dakwaan pegawainya terbabit dalam skim “mafia korporat”, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas sambil mendakwa ia sebahagian daripada kempen memburuk-burukkan agensi itu.
Azam pula menafikan salah laku dalam dakwaan pemilikan saham dan menyaman Bloomberg berhubung laporan media itu pada Februari mengenai perkara berkenaan.

Sejak itu, kedudukan Azam sebagai ahli Lembaga Penasihat NFCC mendapat perhatian awam selepas Jabatan Peguam Negara memuat naik gambar mesyuarat NFCC pada 30 Jun, yang mendedahkan kehadiran Azam dalam mesyuarat itu.
NFCC kemudian menjelaskan Azam dilantik sebagai ahli lembaga oleh Yang di-Pertuan Agong pada 20 Sept 2024 bagi tempoh tiga tahun.
[Baca berita asal]





