Seorang penganggur dihukum penjara 10 tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, tahun lepas.
Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Hilmee Kusnan, 49, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas kedua-dua pertuduhan pada hari pertama perbicaraan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 10 tahun dan dikenakan satu sebatan bagi kesalahan merogol, manakala empat tahun penjara serta satu sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Sept 2025.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling selama dua tahun sepanjang tempoh pemenjaraan serta berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan, Hilmee didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu yang berusia lapan tahun di sebuah flat di Cheras di Kuala Lumpur pada 10.30 pagi, 4 Sept 2025.
Dia didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2)(e) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan.
Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dikatakan berjalan pulang ke rumah selepas membeli pisang goreng di gerai berhampiran sebelum memasuki lif bersama tertuduh yang tidak dikenalinya.
Tertuduh kemudian menarik tangan mangsa dan membawanya masuk ke rumah sebelum melakukan perbuatan berkenaan.
Selepas kejadian itu, tertuduh menyuruh mangsa pulang ke rumah dan memberi amaran supaya tidak menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa, selain memberikan wang RM3 kepada mangsa.
Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada rakannya, sebelum perkara berkenaan disampaikan kepada ibu rakannya dan seterusnya dimaklumkan kepada ibu mangsa. Ibu mangsa kemudian membawa kanak-kanak itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman berat dengan mengambil kira trauma dialami mangsa selain kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
Sementara itu, peguam bela Dr Mohamad Ismail Yunus merayu hukuman minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan menghidap penyakit kencing manis.





