Timbalan Presiden Perikatan Nasional Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata komponen terbaru gabungan itu, Parti Wawasan Negara (Wawasan), tidak akan diperuntukkan sebarang kerusi untuk bertanding pada pilihan raya negeri Johor ke-16 pada Julai ini.
Ketika ditemui di Parlimen, timbalan presiden PAS itu berkata rundingan untuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya melibatkan partinya, Bersatu, Gerakan, dan MIPP.
“(Wawasan bertanding) Bawah PN tak ada. Sebab keanggotaan dia pun kita baru terima. Dan kita setakat yang kita bincang semalam hanya empat parti tak termasuk dia,” kata anggota parlimen Kubang Kerian itu kepada Malaysiakini.

Malah menurut Tuan Ibrahim, dia tidak menjangkakan Wawasan akan meletakkan calon pada pilihan raya Johor kerana parti itu masih belum ditubuhkan dengan kukuh.
“Ada proses Parti Cinta Malaysia tukar kepada Wawasan, ada proses ROS (Pendaftar Pertubuhan).
“Saya tak tahu kalau dia nak bertanding atas logo dia, itu dia punya pasal lah. Tapi atas PN setakat semalam kita hanya empat parti,” katanya merujuk kepada penubuhan parti yang diketuai oleh anggota parlimen Larut, Hamzah Zainudin.
Malaysiakini juga telah menghubungi Saifuddin Abdullah dari Wawasan untuk mendapatkan maklum balas.
Penjenamaan semula diteruskan
Dalam kenyataan berasingan, Hamzah hari ini mengesahkan Mesyuarat Khas Perwakilan PCM pada Sabtu lalu sebulat suara bersetuju untuk menjenamakan semula parti itu sebagai Wawasan Negara.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada majlis tertinggi PN atas kepercayaan yang ditunjukkan dalam menerima Wawasan sebagai parti anggota PN," kata ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.
Hamzah berkata penyertaan Wawasan akan memberi nilai tambah kepada kekuatan sedia ada PN, terutamanya dalam memperjuangkan agenda perubahan berdasarkan kecekapan, integriti dan kestabilan.
Semenatar itu, Tuan Ibrahim juga menjelaskan walaupun PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu, parti yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin itu masih terlibat dalam rundingan kerusi untuk pilihan raya Johor.
“Semalam kita (PN) minta tubuh jawatankuasa (dengan) dua orang satu parti untuk kita putuskan kerusi-kerusi mana yang mereka akan bertanding,” katanya, dan apabila disoal wartawan “Bersatu juga” Tuan Ibrahim menambah, "termasuk Bersatu".

Didesak butiran lanjut sama ada Bersatu akan bertanding bawah bendera PN di Johor, Tuan Ibrahim berkata, “Ya. Logo dan sebagainya itu kita akan bincang kemudian.”
“Itu tidak diputuskan lagi, jawatankuasa akan diputuskan,” katanya.
Bukan lagi rakan kongsi
PAS menamatkan kerjasama politiknya secara rasmi dengan Bersatu pada 8 Jun lalu.
Pada 17 Jun, Muhyiddin mengisytiharkan Bersatu kekal sebagai parti komponen PN dan akan meletakkan calon bawah logo PN dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan yang dijadualkan masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos.
Persoalan timbul mengenai penggunaan logo PN oleh Bersatu dalam kedua-dua pilihan raya negeri itu selepas memutuskan hubungan dengan PAS, memandangkan hanya pengerusi gabungan, naib presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah pencalonan rasmi bagi calon yang disokong PN.

Malam tadi, Muhyiddin, yang menghadiri mesyuarat majlis tertinggi PN di ibu pejabat PAS, sambil menegaskan semula kedudukan Bersatu kekal status quo.
Menjelang hari penamaan calon pada 27 Jun, PAS Johor sebelum ini memberi bayangan tentang kemungkinan pakatan dengan Umno dan beberapa parti lain bagi mengelakkan pertandingan berbilang penjuru pada pilihan raya negeri akan datang.
Menyatukan rakyat
Dihubungi untuk komen mengenai perkembangan terkini, Pesuruhjaya PAS Johor Mahfodz Mohamed berkata parti itu kekal terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menyatukan ummah, termasuk Umno dan BN.

Walaupun Tuan Ibrahim berkata rundingan kerusi masih berterusan, Mahfodz hari ini mendakwa proses itu selesai.
"Alhamdulillah, pengagihan kerusi selesai. Esok akan ada pengumuman Insya-Allah," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Disoal mengenai perbincangan dengan Umno untuk mengelakkan pertembungan calon, Mahfodz berkata, "Tunggu esok, calon akan diumumkan."
Setakat ini, BN dan PH dijangka berhadapan di semua 56 kerusi negeri, dengan PH menjadi pihak pertama yang menyenaraikan calon-calonnya malam tadi.





