Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan maut melibatkan pekerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana 1, Kuala Selangor pada 16 Jun lalu.
Dalam kenyataan hari ini, SPAN berkata, mereka akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak sama ada operator – iaitu Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) –tau kontraktor pemegang permit yang terlibat sekiranya terdapat sebarang keingkaran prosedur.
Tindakan juga, kata SPAN, akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan undang- undang subsidari yang berkaitan.
“Berdasarkan semakan, kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pencucian atau penyelenggaraan tersebut mempunyai permit berdaftar dengan SPAN.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat kemungkinan berlaku ketidakpatuhan prosedur keselamatan kerja di ruang terkurung, termasuk kemasukan pekerja tanpa kebenaran dan sebelum pengesahan keselamatan diberikan.
“Bagaimanapun, sebarang penemuan berkaitan punca sebenar kejadian adalah tertakluk kepada hasil siasatan rasmi dan laporan akhir yang akan dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” katanya.
SPAN turut memaklumkan pihaknya memandang serius insiden tersebut khususnya kerana ia melibatkan kehilangan nyawa.
Suruhanjaya itu memberitahu mereka menerima makluman berhubung insiden tersebut pada 17 Jun dan mengadakan lawatan tapak ke lokasi kejadian sehari kemudian.
Berdasarkan maklumat diperoleh semasa lawatan, kata SPAN, kerja-kerja pencucian kolam perkhidmatan secara berjadual dilaksanakan pada 16 Jun oleh vendor dilantik iaitu Myda Risk & Safety Sdn Bhd.
“Semasa kejadian, air di dalam kolam dilaporkan berada pada paras pinggang. Dua orang pekerja mengalami kesulitan berhampiran kawasan scour point (titik kerokan) berdiameter 200mm.
“Seorang daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi dilaporkan tersangkut di kawasan tersebut,” katanya.
SPAN memaklumkan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) diberikan, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital UiTM untuk tujuan bezah siasat.
“Punca kematian awal dilaporkan sebagai mati lemas.
“JKKP telah menjalankan lawatan ke lokasi pada 17 Jun dan mengeluarkan notis larangan.
“Pada 18 Jun, SPAN bersama Air Selangor dan JKKP mengadakan lawatan susulan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Menurut SPAN lagi, wakil JKKP memaklumkan siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan sebelum melaksanakan kerja-kerja berisiko tinggi.
"JKKP juga memaklumkan laporan penuh akan dikeluarkan setelah siasatan rasmi selesai dijalankan.
“Keselamatan dan kesihatan pekerjaan kekal sebagai keutamaan utama dalam semua pelaksanaan kerja penyelenggaran agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.
“Selain itu, langkah-langkah penambahbaikan akan terus diberi perhatian bagi memastikan pematuhan kepada prosedur keselamatan, kawalan kerja di ruang terkurung, pengawasan kontraktor serta pengurusan risiko di tapak kerja dilaksanakan dengan lebih ketat dan berkesan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kematian pelajar latihan industri dari Universiti Putra Malaysia ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana disahkan akibat lemas.





