Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu akan bertemu Presiden AS Donald Trump di Rumah Putih pada Selasa buat kali pertama sejak peranang Iran meletus, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin itu secara terbuka menyuarakan perbezaan pendapat mereka.
AFP melaporkan hubungan antara Netanyahu dan Trump kelihatan agak tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini, namun kedua-dua mereka berusaha meredakan keadaan.
Pertemuan pada Selasa dijangka didominasi oleh isu peranang, yang bermula dengan serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari lalu, ketika Washington menyatakan hasrat memberi ruang kepada rundingan.
Israel tidak terlibat dalam pusingan terbaru permusuhan antara AS dan Iran, yang kembali meletus awal bulan ini selepas gencatan senjata pada April terjejas.

Pertemuan pada Selasa merupakan pertemuan kelapan antara kedua-dua pemimpin itu sejak Trump kembali memegang jawatan tahun lalu, serta perbincangan bersemuka pertama mereka sejak peranang bermula.
"Ini satu penghormatan besar, tetapi ia juga satu tanggungjawab yang besar," kata Netanyahu sebelum berlepas dari Israel pada Isnin.
"Kami akan membincangkan semua isu dalam agenda, terutamanya Iran. Sudah tentu, matlamat kami adalah untuk memelihara keselamatan dan juga meluaskan lingkaran kedamaian di sekeliling kami," tambahnya.
Hubungan antara kedua-dua pemimpin itu berada pada tahap terendah pada April ketika rundingan gencatan senjata, dengan Trump mengeluarkan kata-kata yang agak keras terhadap sekutunya dari Israel itu.
Trump dalam satu wawancara menggambarkan Netanyahu sebagai "seorang yang sangat sukar" dibawa berunding.

Netanyahu meremehkan pertikaian itu sebagai "perbezaan taktik", sambil menegaskan mereka sehaluan dari segi matlamat peranang.
Pada Selasa, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelaksanaan perjanjian rangka kerja tajaan AS yang ditandatangani Israel dan Lubnan bulan lalu, yang pelaksanaannya di lapangan berdepan cabaran.
Perbincangan juga dijangka menyentuh mengenai Gaza, ketika usaha diplomatik untuk memulakan semula pembinaan semula wilayah Palestin yang musnah itu kini dalam keadaan tergendala.
Hampir tiga tahun selepas peranang antara Israel dan Hamas meletus, situasi kemanusiaan di Gaza kekal kritikal, dan Israel terus menyasarkan individu yang disifatkan tentera sebagai pejuang.
Hubungan tidak retak
Bagi Yonatan Freeman, pakar hubungan antarabangsa di Hebrew University of Jerusalem, tujuan utama lawatan ini adalah untuk menepis laporan mengenai ketegangan hubungan antara kedua-dua sekutu itu.
"Saya fikir isu utama... adalah untuk menunjukkan kepada dunia, menunjukkan kepada Iran, dan juga Lubnan serta pihak lain, bahawa tiada keretakan atau sebarang perselisihan faham utama antara AS dan Israel," katanya kepada AFP.
"Terdapat lebih banyak persamaan berbanding perbezaan antara kedua-dua pemimpin ini," tambahnya.

Bagi Freeman, sebarang perbezaan antara Trump dan Netanyahu hanyalah melibatkan cara – tempoh masa, intensiti, matlamat jangka pendek operasi – dan bukannya matlamat menamatkan peranang.
Dia juga membayangkan Trump akan memberi fokus utama kepada dua keutamaan serantaunya, iaitu Iran dan perluasan Perjanjian Abraham, berbanding Gaza yang dianggap kurang menjadi keutamaan.
Perjanjian Abraham merupakan siri perjanjian pemulihan hubungan diplomatik tajaan AS yang ditandatangani semasa penggal pertama Trump, yang menyaksikan Israel menjalin hubungan rasmi dengan Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain buat kali pertama, diikuti Maghribi.
Namun, pemerhati lain percaya perbincangan itu boleh menyentuh kemungkinan pengurangan kehadiran tentera Israel di rantau berkenaan, seperti di Lubnan, Syria atau Gaza.
Lawatan Netanyahu dibuat beberapa bulan menjelang pilihan raya umum Israel, dengan dia merancang untuk bertanding bagi mendapatkan satu lagi penggal.
Tinjauan pendapat terkini menunjukkan Netanyahu ketinggalan, dengan kemarahan awam masih berlarutan atas kegagalan pemerintahannya menghalang serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang mencetuskan peranang Gaza.





