Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation MDEC menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam peranancangan, kelulusan atau promosi acara after-party sempena Malaysia Blockchain Week 2026, termasuk pengundian tetamunya.
MDEC juga menarik balik sokongan terhadap Malaysia Blockchain Week 2026 dan mengarahkan penganjur menanggalkan semua bahan yang membawa nama, logo atau imej Kementerian Digital, MDEC dan menteri.
"Sebarang dakwaan bahawa Kementerian Digital atau MDEC meluluskan, menyokong atau mempunyai kaitan dengan after party tersebut adalah tidak benar.
"Penganjur sendiri telah mengesahkan perkara ini dalam kenyataan mereka," kata MDEC.
Kenyataan itu susulan tular promosi program After-Party Malaysia Blockchain Week 2026 pada 30 Julai di media sosial dan dikecam netizen kerana melibatkan seorang bekas pencipta kandungan dewasa yang dikenali sebagai Miss Pui Yi.
Pemilik nama sebenarnya Siew Pui Yi, 28, itu pernah aktif menghasilkan kandungan di platform langganan dewasa (OnlyFans) sebelum mengumumkan penarikan diri dan pemadaman kandungan tersebut untuk beralih arah kerjaya.
Dia kemudiannya berkecimpung dalam bidang lakonan serta aktif sebagai DJ muzik elektronik di peringkat antarabangsa selain menjalankan perniagaan sendiri menerusi jenama produk kecantikan dan penjagaan kulit.
Penganjur memaparkan iklan promosi Program after party Malaysia Blockchain Week 2026 yang mengumumkan penampilan Pui Yi dalam acara parti bersama ratusan pengasas, pembangun, pencipta dan usahawan daripada seluruh industri.
Seorang pengguna Thread menggunakan akaun shuk.pakwanson memuat naik satu hantaran yang mengecam program berkenaan.

"Ni event kerajaan Madani ke event promote cornstar? Siap ada logo kementerian pula tu. Makin lama makin menjadi-jadi peranangai masing-masing ya," katanya.
Dalam perkembangan sama Jawatankuasa Penganjur Malaysia Blockchain Week 2026 mengakui bahawa bahan promosi berkaitan acara selepas persidangan (after-party) baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan dan mengalih perhatian daripada tujuan utama program, iaitu menghimpunkan pemimpin industri, inovator, pembuat dasar, pelabur serta ekosistem blockchain.
"Kami ingin menjelaskan dengan tegas bahawa Kementerian MDEC tidak dirujuk, tidak terlibat, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pengundian individu yang diketengahkan, mahupun penganjuran dan promosi acara selepas persidangan tersebut.
"Segala keputusan berkaitan acara selepas persidangan dibuat secara bebas oleh pihak penganjur dan tidak mewakili pandangan, penglibatan atau sokongan Kementerian Digital mahupun MDEC.
"Kami mengakui bahawa penelitian yang lebih rapi sepatutnya diberikan bagi memastikan semua aktiviti dan bahan promosi yang berkaitan dengan Malaysia Blockchain Week 2026 mencerminkan tahap profesionalisme serta piawaian yang dijangkakan bagi sebuah acara yang melibatkan pemain industri dan pihak berkepentingan sektor awam," kata penganjur dalam kenyataan, hari ini.
Penganjur juga memaklumkan semua bahan promosi berkaitan acara selepas persidangan telah ditarik balik.
"Kami juga telah mengambil langkah bagi memastikan semua komunikasi berkaitan membezakan dengan jelas aktiviti tersebut daripada program persidangan rasmi Malaysia Blockchain Week 2026.
"Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada Kementerian Digital, MDEC, rakan-rakan kami serta masyarakat umum atas kebimbangan yang timbul, dan kami kekal komited untuk mempertahankan integriti serta profesionalisme Malaysia Blockchain Week," kata kenyataan itu lagi.





