31.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 31, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tengku Zafrul calon pilihan teraju BAM

    Shopee Sale

    Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam proses peralihan kepimpinan apabila majoriti ahli lembaganya mencapai kesepakatan mencalonkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai presiden bagi penggal 2025-2029.

    Pemangku presiden BAM V Subramaniam ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata kepimpinan yang kukuh dan stabil penting demi memajukan persatuan berkenaan.

    “Mengambil kira apa yang terbaik untuk BAM, saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM telah mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul bagi jawatan presiden dalam pengundian BAM akan datang," katanya semasa sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

    Subramaniam berkata Tengku Zafrul sudah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat dan telah bersetuju dengan pencalonan tersebut.

    "Saya telah berkhidmat dalam arena badminton sejak 1988. Saya bukan orang baru dalam bidang inikan? Saya mahu melihat BAM berkembang, bukan individu. Jadi, apabila melihat gambaran lebih besar, kami melihatnya dengan sangat teliti."

    “Hanya orang tepat seharusnya memimpin BAM. Kami ada di sini dan akan terus memberi bantuan. Jadi, ini bukan soal kepentingan individu. Oleh itu, bagi tujuan tersebut, saya rasa Tengku Zafrul adalah calon yang sesuai untuk menjadi presiden dalam pengundian akan datang," katanya.

    MENARIK:  Istana Pahang lapor polis terhadap Muhyiddin

    Subramaniam memaklumkan pengundian dijangka berlangsung semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu pada 10 Mei depan.

    “Setakat ini, belum ada pencalonan rasmi dibuat. Kita akan tunggu hingga hari AGM dan jika ada nama lain dikemukakan, kita akan teliti perkara itu. Namun, majoriti ahli majlis telah menyatakan persetujuan secara sebulat suara.

    “Kami mahukan presiden yang mempunyai pengalaman luas dan dan dikenali, sebagai korporat, mungkin sekarang sebagai menteri dan mungkin akan bersara tidak lama lagi. Jadi, pengalaman macam ini perlu untuk BAM,” katanya sambil menambah BAM bukan tempat untuk berpolitik kerana mereka sangat komited terhadap industri sukan.

    Sebelum ini, Tengku Zafrul hampir dilantik sebagai presiden BAM bagi menggantikan Mohamad Norza Zakaria yang mahu melepaskan jawatannya awal tahun lepas, namun Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Norza mempertimbangkan untuk kekal hingga tamat Sukan Olimpik Paris 2024.

    Sebaik tamat temasya di Paris, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden hingga AGM berlangsung pada Mei depan.

    -Bernama


    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah