Lebih 20,000 pengunjung membanjiri Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka bagi menyertai program Melaka Berselawat sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka, malam tadi.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh berkata, kehadiran puluhan ribu pengunjung itu mencerminkan semangat rakyat Melaka yang hadir bersama-sama mengalunkan selawat selain menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Menurut beliau, program yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu menjadi salah satu cara untuk masyarakat menghayati erti sebenar kemerdekaan.
“Saya amat bersyukur melihat suasana Dataran 1Malaysia pada malam ini kerana saya dimaklumkan lebih 20 ribu pengunjung membanjiri segenap ruang, hadir bersama-sama mengalunkan selawat dan menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW.
“Inilah semangat keluarga besar Melaka, datang dengan satu hati, berhimpun membawa satu kekuatan!”
Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka serta pengunjung dari luar negeri yang hadir memeriahkan program berkenaan.
Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan

Dalam ucapan sama, Ab Rauf berkata, kemerdekaan tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai kebebasan sebuah tanah air daripada penjajahan, sebaliknya ia turut menuntut masyarakat menghargai nikmat keamanan dan menggunakan kebebasan dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, Melaka Berselawat bukan sekadar sebuah program keagamaan, malah membawa mesej bahawa kemajuan, keamanan dan kebebasan perlu disertai nilai serta rasa syukur.
“Kemajuan yang kita bina mesti ada nilainya, keamanan yang kita nikmati mesti ada rasa syukurnya dan kebebasan yang diwarisi mesti dipelihara dengan penuh amanah.”
Beliau berkata, nilai berkenaan selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat yang mahu negeri itu terus maju dan membangun, selain memastikan keamanan terus dipelihara serta hubungan sesama insan diperkukuh.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan terus memperluas program dan pengisian keagamaan bagi menyuburkan penghayatan Islam dalam kehidupan masyarakat, memperkukuh syiar agama dan memastikan nilai-nilai murni terus subur dalam komuniti.
Enam penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul diraikan
Pada program tersebut, enam individu turut menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam memperkasa syiar Islam di Melaka.
Ab Rauf berkata, penerima anugerah berkenaan terdiri daripada insan yang mungkin tidak sentiasa berada di hadapan atau mendapat perhatian umum, namun jasa dan sumbangan mereka terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada kesemua penerima dan berharap khidmat serta bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan.
“Mudah-mudahan segala khidmat dan bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan, sekali gus menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Melaka untuk terus menyumbang dalam ruang dan kemampuan masing-masing.”
Ajak rakyat meriahkan Ambang Merdeka

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengajak seluruh rakyat Melaka dan pengunjung untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos serta Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2026.
Beliau menyeru orang ramai kembali memeriahkan Klebang dengan kibaran Jalur Gemilang, selain menyemarakkan jiwa merdeka dan meraikan detik bersejarah itu dengan rasa syukur, bangga serta cinta kepada tanah air.
“Ayuh kita kembali memeriahkan Klebang dengan kibaran Jalur Gemilang, semarakkan jiwa merdeka dan raikan detik penuh bermakna ini dengan rasa syukur, bangga dan cinta kepada tanah air!”
Program Melaka Berselawat yang berlangsung pada 29 Ogos 2026 itu turut menjadi medan untuk masyarakat bersama-sama berdoa agar Melaka terus berada di bawah lindungan Allah SWT, dilimpahi rahmat dan keberkatan serta dipelihara keamanan negeri.
The post Lebih 20,000 Banjiri Klebang, Melaka Berselawat Sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 first appeared on OHBULAN!.





