Semangat patriotisme dan perpaduan rakyat Malaysia diterjemahkan menerusi karya terbaharu berjudul ‘Kita Warga Malaysia’ yang menggabungkan elemen muzik, filem, pendidikan serta seni dalam satu wadah kreatif.
Artikel Berkaitan: BluntSheep Angkat Semangat Patriotik Melalui Mini Album ‘Di Puncak Dunia’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Setia’ Nyanyian 33 Orang Rakyat Malaysia Di Lapan Negara Eropah Bangkit Semangat Patriotik
Kita Warga Malaysia

Lagu ciptaan Dr. Lee Tuck Wah itu dilancarkan secara rasmi pada 28 Ogos 2026 di TGV Cinema, Pavilion Bukit Jalil, dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk tokoh negara, pemimpin pendidikan, penggiat industri kreatif, artis, atlet, guru, pelajar dan komuniti daripada pelbagai kaum.
Mengangkat tema ‘Satu Hati, Satu Suara, Membawa Malaysia di Mata Dunia’, karya berkenaan membawa mesej bahawa perbezaan latar belakang bukan penghalang untuk rakyat bersatu.
Menariknya, penghasilan ‘Kita Warga Malaysia’ mengambil masa hampir dua tahun merangkumi proses penciptaan lagu, penggambaran sehingga penerbitan sebelum dipersembahkan kepada umum.
Projek tersebut turut diperkukuhkan dengan penglibatan LOMO Pictures dan Aron Koh yang menjadi antara penggerak utama dalam merealisasikan karya berkenaan.
Sokongan turut diberikan pengarah filem Malaysia, Ryon Lee Eng Keong sekali gus memperlihatkan bagaimana muzik dan filem boleh dimanfaatkan sebagai medium untuk menyampaikan mesej positif.
Dalam pada itu, lima prinsip Rukun Negara turut dijadikan antara elemen utama yang diterapkan menerusi karya tersebut.
Kesemua prinsip itu kemudiannya diterjemahkan menerusi mesej berkaitan patriotisme, keharmonian, perpaduan dan rasa cinta terhadap tanah air.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan sebuah gimik unik apabila AI Robot digunakan sebagai elemen interaktif dalam acara tersebut.
Menerusi gimik berkenaan, VVIP dan tetamu kehormat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebelum seluruh hadirin diajak menyebut dua seruan iaitu ‘Saya Anak Malaysia!’ dan ‘Kita Warga Malaysia!’ sebanyak tiga kali.
Inisiatif berkenaan turut menerima sokongan daripada pelbagai tokoh dan organisasi termasuk Y.A.M. Tunku Noraidah Zakiah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman selaku Penaung Diraja ‘Kita Warga Malaysia’ serta Y.A.M. Tunku Dato’ Suleiman bin Tunku Abdul Rahman sebagai Penasihat Utama.
Turut memberikan sokongan, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Syed Yusof Tun Syed Nasir J.P. (Tan Sri Jojo), Presiden Yayasan Dato Malaysia dan Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff, Presiden PEMENANG.
Majlis pelancaran itu pula dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Yang Berbahagia Dato’ Azmir Saifuddin bin Mutalib.
Penglibatan sektor pendidikan turut menjadi sebahagian daripada aspirasi projek tersebut apabila wakil Kementerian Pendidikan Malaysia hadir pada majlis berkenaan.
Lebih istimewa, majlis turut dihadiri dua legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.
Penglibatan sekolah seluruh negara.
Selepas pelancaran rasmi, pihak penganjur turut merancang membuka peluang kepada sekolah di seluruh Malaysia untuk menghasilkan Video Kreatif ‘Kita Warga Malaysia.’
Setiap sekolah diberi ruang mengetengahkan identiti, budaya dan kreativiti masing-masing dalam menyampaikan mesej kecintaan terhadap negara.
Inisiatif itu bukan hanya bertujuan mewujudkan persaingan, sebaliknya menjadi platform buat generasi muda berkarya, bekerjasama dan memahami makna menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia.
Dengan sokongan lebih ramai pihak, karya berkenaan diharapkan dapat berkembang menjadi sebuah projek yang lebih besar, berkualiti dan mencerminkan kepelbagaian wajah Malaysia.
The post ‘Kita Warga Malaysia’ Satukan Muzik, Filem & Pendidikan, Gema Seruan ‘Saya Anak Malaysia!’ first appeared on OHBULAN!.





