Ketegangan di Teluk kembali memuncak susulan serangan semalaman ke atas Kuwait dan Bahrain yang memberikan kejutan hebat kepada gencatan senjata yang kelihatan rapuh sejak awal lagi.
Laporan Reuters menyebut serangan Iran itu merosakkan lapangan terbang Kuwait, mengorbankan satu nyawa dan mencederakan lebih 60 orang, manakala Bahrain pula menyatakan ia memintas peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kedudukan tentera AS.
Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait digantung dan beberapa jam kemudian Kuwait Airways dan Jazeera Airways kemudian menyambung semula operasi penerbangan selepas langkah keselamatan dilaksanakan.

Ketegangan yang memuncak ini — bersama serangan balas AS berhampiran Selat Hormuz — menegaskan betapa mudahnya permusuhan terus memecah kedamaian yang rapuh, dengan laluan air penting itu sebahagian besarnya masih ditutup dan harga minyak bertindak balas dengan pantas.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menafikan mereka menyerang lapangan terbang Kuwait dan mendakwa kerosakan itu berpunca daripada peluru berpandu pemintas AS yang gagal kena pada sasaran.
Bagaimanapun, tentera AS menegaskan dron Iran sengaja menyasarkan lapangan terbang berkenaan.
Reuters yang memetik media Iran sebelum ini melaporkan IRGC menyerang ibu pejabat Armada Kelima AS di Bahrain, sebuah pangkalan udara AS dan sebuah kapal yang dikenali sebagai Panaya.

Namun, Komando Pusat AS (Centcom) menafikan pangkalannya terkena serangan dan memaklumkan peluru berpandu balistik Iran gagal memusnahkan sasaran di rantau itu.
Centcom berkata pihaknya melancarkan satu lagi siri 'serangan pertahanan' di selatan Iran dengan menyasarkan lokasi pelancaran peluru berpandu dan bot Iran yang cuba meletakkan periuk api, selain menyerang Pulau Qeshm berhampiran Selat Hormuz susulan cubaan serangan Iran.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, berkata rundingan masih diteruskan tetapi belum mencapai sebarang kemajuan.
Presiden AS, Donald Trump, berkata keutamaan Washington adalah menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, manakala Tehran menegaskan program nuklearnya adalah bagi tujuan aman.
Dalam temu bual di podcast semalam, Trump berkata Iran bersetuju untuk tidak memiliki senjata nuklear dan Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Ali Khamenei, turut serta dalam rundingan tersebut.

Trump kemudian memberi bayangan bahawa rundingan dengan Iran mungkin menunjukkan perkembangan seawal hujung minggu ini.
"Jika ia berlaku, ia mungkin berlaku pada hujung minggu," katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, Rumah Putih.
Dia berkata perunding juga sedang berusaha memisahkan isu pembukaan semula Selat Hormuz daripada konflik di Lubnan.





