Penangguhan pelaksanaan Akta Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) membuktikan kerajaan Persekutuan secara berterusan mengetepikan perlindungan perlembagaan yang memelihara hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau berkata, langkah berkenaan bukan sekadar isu pentadbiran, sebaliknya mendedahkan corak berpanjangan Putrajaya yang sewenang-wenangnya menggubal undang-undang persekutuan membabitkan Sabah dan Sarawak tanpa mendapatkan persetujuan yang sah.

"Kegagalan berulang kali untuk mematuhi keperluan perlembagaan ini tidak boleh diterima.
“Ia menjejaskan semangat dan perlindungan yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menjadi asas di mana Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk Persekutuan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Cukup-cukuplah, Perlembagaan bukan 'pilihan' Putrajaya
Wilfred yang juga Adun Tamparuli menjelaskan, tindakan membelakangkan perlembagaan ini bukan perkara baru, malah pernah berlaku dalam pelaksanaan Akta Pelantar Benua 1966, Akta Perikanan 1970, pindaan Perkara 122A pada 1994, serta Akta Laut Wilayah 2012.
Menurut bekas menteri persekutuan itu, walaupun para pemimpin Sabah termasuk menteri kabinet persekutuan dari negeri berkenaan telah menyatakan bantahan keras, Putrajaya sebelum ini memberi jaminan kosong kononnya undang-undang subsidiari akan diperkenalkan bagi melindungi hak wilayah terbabit.

"Cukup-cukuplah. Kerajaan Persekutuan tidak boleh terus melayan perlindungan perlembagaan sebagai peruntukan pilihan yang boleh diabaikan apabila munasabah. Perkara 161E bukan simbolik.
“Ia adalah perlindungan perlembagaan yang mengikat," katanya lagi.
Dia turut memberi amaran bahawa Sabah dan Sarawak bukanlah wilayah bawahan dalam Persekutuan, sebaliknya adalah rakan kongsi pengasas Malaysia.
Sehubungan itu, Wilfred mendesak Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk segera membawa isu pelanggaran ini ke Majlis Perundingan MA63 secara telus bagi menghentikan sebarang usaha pencerobohan perlembagaan pada masa hadapan.





