Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen kewarganegaraan secara naturalisasi yang diberikan kepada tujuh pemain bola sepak negara.
Syor itu dibuat selepas Pasukan Petugas Khas EAIC (PPK EAIC) menemukan ketidakaturan dan ketidakpatuhan dalam proses kelulusan kewarganegaraan pemain terbabit.
Siasatan itu turut menemukan ketidakpatuhan dalam pengesahan pelepasan kewarganegaraan negara asal daripada pihak berkuasa negara pemain terbabit.
"Terdapat ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk melibatkan proses temuduga dan tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kepada pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.

"Terdapat juga isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh JPN bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan," kata suruhanjaya itu.
Pasukan berkenaan ditubuhkan di bawah seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 susulan aduan yang diterima terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut EAIC, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19.
Saifuddin kemudian menggunakan kuasa budi bicaranya untuk memberikan kelulusan khas dengan mengambil kira sumbangan pemohon dalam sukan bola sepak yang berpotensi mengharumkan nama negara.

Kelulusan itu dibuat di bawah Perkara 19(2), dibaca bersama seksyen 20(1)(e) Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, EAIC mendapati pertimbangan terhadap syarat yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan kelulusan khas menteri dalam negeri itu dilakukan dalam tempoh "amat singkat dan secara tidak teratur."
Selain itu, EAIC mendapati berlaku ketidakpatuhan berhubung penyerahan pasport negara asal pemain kepada JIM.
Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan JPN dan KDN menyemak semula keseluruhan proses serta dokumen kewarganegaraan tujuh pemain berkenaan yang diluluskan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.

Suruhanjaya itu turut menggesa kerajaan mewujudkan garis panduan bagi pelaksanaan kuasa budi bicara, dengan mengambil kira tempoh kemastautinan dalam negara sebagai asas penting dalam pertimbangan kewarganegaraan.
EAIC juga mencadangkan JPN dan KDN menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi pemberian kewarganegaraan di bawah Perkara 19(2).
"JPN dan KDN perlu menyediakan satu SOP khusus berkenaan pelepasan kewarganegaraan asal oleh warganegara asing yang telah memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia.
"JPN perlu menetapkan satu tempoh yang mewajibkan pelepasan kewarganegaraan negara asal dilakukan dan hukuman sekiranya gagal untuk menyerahkan bukti pelepasan kewarganegaraan tersebut," katanya lagi.

EAIC berkata SOP itu penting memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf individu memiliki kerakyatan dari dua negara.
Suruhanjaya itu turut mengesyorkan JPN mewujudkan garis panduan mengenai penggunaan kuasa budi bicara Pendaftar Besar, khususnya dalam pengeluaran sijil kelahiran di bawah seksyen 10A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.
Menurut EAIC, kuasa berkenaan hanya patut digunakan selepas Pendaftar Besar berpuas hati bahawa kelahiran terbabit benar-benar berlaku berdasarkan keterangan yang dikemukakan dan selepas proses usaha wajar dilaksanakan.
EAIC juga menggesa JIM, JPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan SOP khusus bagi memastikan tapisan keselamatan dilaksanakan secara ketat dan menyeluruh sebelum permit masuk atau kewarganegaraan diluluskan.

Suruhanjaya itu berkata pemerolehan kewarganegaraan secara naturalisasi membabitkan kepentingan serta keselamatan negara dan setiap SOP perlu dipantau serta dipatuhi secara ketat.
Dalam siasatan itu, PPK EAIC mendapatkan dan meneliti dokumen daripada KDN, JPN, JIM, PDRM serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pasukan berkenaan turut merakam percakapan 15 pegawai daripada pelbagai agensi dan lima saksi awam, selain meneliti undang-undang, peraturan serta pekeliling berkaitan.
Laporan dapatan siasatan itu telah diserahkan kepada KDN, JIM dan JPN untuk tindakan lanjut.

EAIC turut mengambil maklum laporan polis yang dibuat berhubung isu pemalsuan dokumen, yang menurutnya telah diputuskan palsu oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Bagaimanapun, EAIC berkata isu pemalsuan dokumen berada di luar bidang kuasanya di bawah Akta 700 dan perlu disiasat secara menyeluruh oleh agensi berkaitan.
Kontroversi tujuh pemain itu tercetus selepas Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati FAM dan pemain terbabit melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan serta pengubahan dokumen kelayakan.
FAM dikenakan denda CHF350,000, yang ketika itu dianggarkan kira-kira RM1.8 juta manakala setiap pemain didenda CHF2,000 dan digantung selama 12 bulan.

Jawatankuasa Rayuan FIFA kemudian mengekalkan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, CAS pada Mac lalu sebahagiannya membenarkan rayuan pemain dengan mengehadkan penggantungan 12 bulan itu kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Malaysiakini telah menghubungi KDN serta pihak berkaitan untuk mendapatkan maklum balas lanjut mengenai dapatan EAIC ini.





