Abdul Hadi Awang berkata, menjelang PRN Johor dulu PAS ditawarkan hanya dua kerusi oleh BN dan dianggap tidak wajar untuk diterima.
Menurut Presiden PAS itu, kerana tawaran yang dianggap sebagai “tayar simpanan” itulah partinya – dan PN – kemudian membuat keputusan untuk bertanding di 11 kerusi.
Dipetik Harakahdaily semasa berucap di majlis makan malam amal bagi mengutip derma sebagai persediaan menghadapi PRN Melaka, Abdul Hadi berkata, PAS mengharapkan lebih banyak kerusi agar mampu menyokong BN Johor jika mereka tidak dapat memenangi kerusi DUN yang mencukupi.
“Umno nak bagi ‘hadiah’ dua kerusi. Tak boleh dua kerusi. Dua kerusi ini tyre spare kecil sangat.
“Kalau Umno tak cukup, tak padan dua kerusi (untuk PAS bantu Umno bentuk kerajaan Johor), (jadi) kena banyaklah, sebelas lebih. Dia tak cukup kita boleh tambah,” katanya dipetik portal rasmi PAS itu semalam.
Dalam PRN Johor itu, BN – selaku kerajaan sementara – meletakkan calon di semua 56 kerusi yang ada berbanding PAS yang bertanding di 11 kerusi.
PH juga bertindak sama dengan bertanding di semua kerusi.
Untuk rekod ketika itu kerjasama di antara PAS-PN dengan BN belum dibuat secara terbuka. Di sebalik pelbagai isyarat yang diberikan PAS, BN memilih untuk bergerak sendirian dan akhirnya berjaya memenangi 48 daripada kerusi DUN.
Usah bimbang di Kelantan, Terengganu
Walaupun bertanding, PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya untuk mengundi calon BN – termasuk dari MCA atau MIC – di kawasan yang tiada calon mereka.
Keadaan itu, kata Abdul Hadi kelmarin, menyebabkan beberapa pihak “pening” dan menganggap ia adalah perkara biasa kerana melibatkan “politik”.
“Masa itu (menjelang PRN Johor) Umno masih lagi nak bertanding semua. Tak apalah, kita bertanding 11. Kita bertanding 11.
“Kita kerahkan supaya orang Johor, tempat PAS undi PAS, tempat tak ada PAS undi Umno. Undi MCA, undi MIC.
“Orang PAS pun pening. Macam mana ni? Biarlah dia pening. Tak apalah dia pening. Ini politik,”

Menurut Abdul Hadi lagi pendekatan itu akhirnya menyumbang kepada kemenangan besar BN di Johor.
Sementara itu mengulas mengenai PRN Melaka – yang masih belum diketahui tarikhnya – Abdul Hadi berkata dia PAS membawa pendekatan perpaduan ummah namun mendakwa tidak pasti kekuatan yang ada pada Umno negeri itu.
Namun ahli politik berusia 78 tahun itu menegaskan, matlamat PAS ialah untuk membolehkan Melayu dan Islam menguasai politik bersama orang bukan Melayu dan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Melaka saya tak tahu Umno kuat ke tidak. Ini kita bincanglah, masih berbincang lagi,” katanya.
Untuk kerjasama dengan BN di Terengganu dan Kelantan pula, Abdul Hadi berkata, ada pendekatan tersendiri dan meminta orang ramai tidak berasa bimbang.
“Kita (PAS) membawa agenda perpaduan ummah,” katanya lagi.
Baca Razlan saran PN di timur, BN pegang selatan
PAS memang sudah menyatakan bahawa kerjasama dengan BN di Melaka akan berbeza berbanding apa yang mereka lakukan di Johor serta Negeri Sembilan.
Menurut PAS perbezaan pendekatan itu diambil kerana mengambil kira kedudukan Melaka yang menunjukkan BN tidak memenangi satu pun kerusi parlimen dalam PRU ke-15 lalu berbanding PN yang menguasai tiga.
Tiga kerusi lain dimenangi PH.
Di peringkat DUN pula, BN Melaka sudah menyatakan mereka bercadang mahu mempertahankan semua 21 kerusi yang dimenangi pada 2021, manakala PAS pula pernah menyatakan mahu bertanding di 15 atau 16 kerusi.





