Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Hilman Idham tidak menolak kemungkinan partinya akan menyokong kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) sehingga akhir penggal pentadbiran semasa, sambil menegaskan bahawa sebarang aturan sedemikian pada akhirnya perlu dipandu oleh kepentingan rakyat.
Adun Gombak Setia itu berkata demikian ketika mengulas tindakan dua Adun daripada Bersatu di Pahang yang menyokong kepimpinan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Ditanya sama ada perkembangan serupa boleh berlaku di Selangor, Hilman berkata perkara itu "bukan suatu yang mustahil".
"Bersatu pernah bekerja dengan semua parti politik termasuk BN dan PH.
“Asasnya adalah kepentingan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.
Kenyataan itu dibuat ketika spekulasi bertiup kencang mengenai kemungkinan penjajaran politik baharu di Selangor menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Awal bulan ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata PH terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Bersatu dan PN, dengan syarat ia berasaskan kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
Walau bagaimanapun, Amirudin menegaskan bahawa PH dan Bersatu belum mengadakan sebarang perbincangan serius atau rasmi di peringkat negeri.

Di Dewan Undangan Negeri Selangor, Bersatu diterajui oleh ketua pembangkang, Azmin Ali, yang juga Adun Hulu Kelang dan pengerusi PN Selangor.
Spekulasi itu semakin kencang susulan perkembangan di Pahang, yang menyaksikan Adun Kuala Sentul, Jasri Jamaludin dan Adun Lepar, Yazid Yunus mengikrarkan sokongan kepada Wan Rosdy dengan restui kepimpinan parti.
Hilman berkata pengundi semakin muak dengan politik perpecahan dan mahu kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah mereka.
“Rakyat hari ini muak dengan politik yang memecah belahkan, yang toksik dengan menyemarak api kebencian dan perpecahan.
“Saat ini, rakyat hanya mahukan pembelaan daripada mana-mana kerajaan yang diberi mandat,” katanya lagi.
Dia turut memberi bayangan bahawa perkembangan di Pahang boleh menjadi titik permulaan untuk aturan politik yang serupa di tempat lain.
“Justeru, mungkin Pahang adalah satu permulaan. Di Selangor, mungkin. Dari segi politik mungkin PH tidak perlukan Bersatu.

“Tapi kalau berlaku, barangkali penyatuan idea dan pemikiran itu boleh memperhebat program dan inisiatif demi rakyat negeri Selangor,” kata Hilman.
PH kini memegang 32 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor, manakala BN mempunyai dua kerusi.
Bersatu mempunyai 11 kerusi dan PAS 10 kerusi, manakala bekas wakil Bersatu, Abdul Rashid Asari bertindak sebagai bebas yang menyokong pentadbiran Amirudin.





