GLOBAL | Jabatan Negara AS mengeluarkan Syria dari senarai negara penaja keganasan, sekali gus memenuhi komitmen Presiden Donald Trump untuk memberikan kelonggaran sekatan kepada kerajaan pasca-Assad.
Menurut Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS, Syria tidak lagi tertakluk kepada larangan di bawah Peraturan Sekatan Kerajaan dalam Senarai Keganasan.
Anadolu Ajansi melaporkan Washington turut membatalkan penetapan Barisan al-Nusrah – yang juga dikenali sebagai Hay'at Tahrir al-Sham (HTS) – sebagai organisasi pengganas global yang ditetapkan khas.
OFAC turut mengeluarkan HTS daripada senarai warganegara yang ditetapkan khas dan individu yang disekat.
Susulan itu, General License 25 – yang sebelum ini membenarkan transaksi yang dilarang kerana penglibatan kumpulan itu dalam kerajaan – dibatalkan kerana ia "tidak lagi diperlukan", menurut OFAC.
Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata keputusan itu mengiktiraf "tindakan positif" dan "komitmen lanjut" yang dibuat Damsyik untuk "menjauhkan Syria sepenuhnya daripada tindakan keganasan antarabangsa."
Rubio berkata bawah kerajaan baru, Syria mengambil "langkah penting" untuk memerangi kumpulan pengganas Daesh, al-Qaeda, Hizbullah dan "kumpulan yang bersekutu dengan Iran", selain secara rasmi menyertai Gabungan Global untuk Menewaskan Daesh pada Nov tahun lalu.
Dia menegaskan tindakan mengeluarkan Syria dari senarai negara penaja keganasan itu "menghapuskan halangan utama terakhir" kepada pelaburan sektor swasta, sekali gus memudahkan "pemulihan ekonomi dan penyepaduan semula Syria ke dalam ekonomi global."
Trump secara rasmi memaklumkan Kongres pada 8 Julai lalu mengenai hasrat untuk menarik balik penetapan Syria sebagai negara penaja keganasan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Ahmad al-Sharaa di Ankara.
Syria berada dalam senarai berkenaan sejak 1979, dengan status sama turut dikenakan terhadap Cuba, Korea Utara dan Iran.
Penetapan sebagai negara penaja keganasan itu mewujudkan halangan besar terhadap bantuan keselamatan, transaksi kewangan dan pelaburan asing.
HTS merupakan antara kumpulan bersenjata paling berpengaruh yang menentang tentera Bashar Assad semasa peranang saudara Syria. Kumpulan itu dipimpin Sharaa – yang kemudian menjadi Presiden Syria selepas Bashar digulingkan.
Perubahan dasar itu menyusuli kejatuhan rejim Assad pada Dis 2024 dan usaha Sharaa selepas itu untuk menstabilkan negara berkenaan.
Sharaa melakukan lawatan bersejarah ke Rumah Putih pada Nov tahun lalu menjadikannya sebagai lawatan pertama oleh seorang pemimpin Syria sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1946.
Lawatan itu menyusuli pertemuan terdahulu dengan Trump di Riyadh pada Mei 2025, yang berlangsung tidak lama sebelum Washington menarik balik sekatan Caesar.





