Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mempertahankan penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026, berkata ia acara terbuka yang bersifat sukarela dan tidak wajar dijadikan polemik atau dipaksakan ke atas pihak lain.
Menurutnya, bantahan terhadap festival tersebut oleh segelintir pihak disifatkan keterlaluan, tidak tepat serta terlalu umum sehingga berpotensi mengelirukan orang ramai dan mencetuskan keresahan sosial yang tidak perlu.
Tiong menjelaskan acara itu merupakan projek pelancongan bandar yang dirancang secara teliti dan dilaksanakan di bawah pemantauan rapi, bukannya seperti dakwaan sesetengah pihak yang cuba menggambarkannya sebagai acara “tidak terkawal” atau “tidak teratur”.
"Penyertaan dalam acara ini adalah secara sukarela. Jika ada yang merasakan tidak sesuai, mereka boleh sahaja memilih untuk tidak menyertainya, tetapi tidak wajar menafikan pilihan orang lain atau memaksakan kehendak sendiri ke atas pihak lain.

"Pandangan mana-mana parti politik atau individu tidak seharusnya diperbesarkan menjadi isu masyarakat, apatah lagi dijadikan sebagai isu perkauman dan agama. Malaysia ialah sebuah negara majmuk berbilang kaum dan agama.
"Sebarang perbincangan awam mestilah bersifat rasional dan saling menghormati, bukannya emosi yang membesar-besarkan perbezaan dan mencetuskan perpecahan.
"Jika setiap perkara mahu dipolitikkan dan dikaitkan dengan kaum serta agama, bagaimana negara dapat memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi? Bagaimana negara kita boleh maju," soalnya dalam satu kenyataan media.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bersama PKR Cabang Bukit Bintang membantah penganjuran ‘Rain Rave Water Music Festival 2026’ yang dijadual berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang.

Mereka mendakwa festival tersebut mempromosikan budaya hedonisme melampau, termasuk pergaulan bebas, pendedahan aurat, penyalahgunaan bahan terlarang serta hiburan tanpa batas.
Selain itu, penganjuran acara berskala besar hingga lewat malam turut dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti Islam sebagai agama persekutuan, khususnya dari segi akhlak, batas pergaulan dan suasana sosial di ruang awam.
Sehubungan itu, mereka menggesa kerajaan tidak meluluskan acara seumpama itu, khususnya di Kuala Lumpur dan kawasan tumpuan seperti Bukit Bintang.
Rain Rave Water Music Festival 2026 menampilkan konsep gabungan muzik, air dan elemen hiburan moden, dianjurkan sempena Hari Pekerja Sedunia serta inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.

Festival ini menggunakan hujan sebagai elemen pengalaman, dipadankan dengan persembahan muzik, pencahayaan dan suasana interaktif bagi menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Joe Flizzow (gambar atas), DJ Cza, Killa Driz, Mimi Fly, Dolla dan De Fam adalah bakat tempatan yang akan membuat persembahan.
Wujackers – kolaborasi baru antara duo Belanda Bassjackers dengan DJ Wukong dari Singapura – akan menjadi artis utama di peringkat antarabangsa.
Turut membuat persembahan adalah barisan DJ wanita sepenuhnya yang merangkumi DJ MiJi dan DJ Yoyo dari China, DJ Loa dari Korea Selatan, DJ Lovezy dari Filipina, Moski Love dari Indonesia dan DJ Pixzy dari Thailand.

Sementara itu, Tiong berkata festival itu juga bertujuan mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia termasuk makanan pelbagai kaum, seni tradisional dan kraf tangan sebagai tarikan pelancongan.
Dia berkata objektif asal penganjuran tidak wajar diputarbelitkan, malah penganjur tidak pernah menggalakkan sebarang tingkah laku yang bercanggah dengan nilai masyarakat.
"Semua acara awam dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan norma sosial. Mana-mana parti atau kumpulan tidak seharusnya membuat tuduhan sesuka hati dan membesar-besarkan perkara yang tidak perlu, apatah lagi sengaja menimbulkan isu sehingga menjadikan acara yang asalnya sederhana sebagai polemik politik.
"Saya berpandangan bahawa tidak wajar untuk mana-mana pihak terus mencetuskan kontroversi sehingga mempengaruhi persepsi masyarakat secara negatif, dan berharap agar sesetengah ahli politik, parti serta kumpulan berkaitan tidak sewenang-wenangnya mengalihkan fokus kepada isu seperti batas pergaulan antara lelaki dan wanita.

"Jika mengikut logik sedemikian, kedai, jalan raya dan ruang awam yang sentiasa digunakan orang ramai, adakah semuanya perlu dihentikan operasinya apabila orang ramai bersentuhan antara satu sama lain?
“Adakah semuanya perlu dipersoalkan? Contohnya, kita sering menaiki pengangkutan awam, ke pasar raya dan pusat beli-belah; pada waktu puncak, jarak antara individu pasti rapat yang tidak dapat dielakkan dan kadangkala berlaku sentuhan.
"Bagaimana situasi ini harus ditafsirkan? Begitu juga, tidak kira ruang seluas mana, apabila jumlah orang ramai meningkat, ia tetap menjadi sesak.

“Jika kerana bimbang berlaku sentuhan kita terus mengelakkan ruang awam, bagaimana masyarakat dapat berfungsi? Kewujudan ruang awam adalah untuk kegunaan rakyat," katanya.
Tambah ahli parlimen Bintulu itu, dakwaan bahawa acara tersebut akan menjejaskan operasi bandar juga tidak berasas.
"Saya ingin menjelaskan bahawa segala pengaturan telah dibincangkan melalui beberapa mesyuarat antara jabatan dan telah mencapai persetujuan semua pihak berkaitan. Semua perincian telah dirancang dengan teliti, dan tidak timbul isu 'tidak munasabah' atau 'tidak sensitif'.
"Kerja persediaan awal hanya melibatkan penutupan jalan pada waktu tengan malam, bukannya seperti yang didakwa selama 11 hari.

“Notis awal juga dikeluarkan melalui akhbar dan saluran-saluran lain bagi membolehkan orang ramai membuat persediaan sewajarnya, justeru tidak perlu mencari kesalahan yang tidak berasas.
"Pada masa sama, kawasan penganjuran merupakan lokasi komersial dan pelancongan yang sememangnya aktif dengan jumlah pengunjung harian yang tinggi serta suasana yang meriah.
“Oleh itu, dakwaan mengenai gangguan bunyi yang berlebihan adalah tidak berasas," jelasnya lagi.





