Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada parti komponen lain dalam gabungan iaitu MIPP dan Gerakan.
Abdul Hadi mengakui situasi semasa menimbulkan persoalan kerana kedua-dua parti masih berada dalam gabungan yang sama.
“Bersatu masih ada (dalam PN) dan kita dah putus dengan Bersatu.
“Dan ada dua parti lagi, Gerakan dan MIPP. Terpulang kepada parti rakan-rakan lain. (Mengikut perlembagaan PN) mesti majoriti parti anggota membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di Marang, hari ini.
Abdul Hadi berkata pelbagai perkara berkaitan masa depan gabungan itu sedang diteliti.
“Insya-Allah tunggu kita mesyuarat hari Rabu.
“Esok (Rabu) kita akan ada mesyuarat pusat di Kuala Lumpur.
“Kita akan ada mesyuarat dan akan ada keputusan,” katanya.
Isnin lalu, PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata antara perkara lain yang akan turut diputuskan dalam mesyuarat akan datang adalah penyertaan gerakan politik Reset yang diasaskan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin selepas dipecat daripada parti itu dan penetapan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadual berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Abdul Hadi, setakat ini PAS belum membuat sebarang keputusan berhubung bentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Setakat hari ini bagaimana kita untuk PRN Johor, kita masih belum buat keputusan tapi pada Rabu ini kita akan (muktamadkan),” katanya.





