Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki negara ini kerana Malaysia mempunyai pendirian jelas untuk tidak mengiktiraf Israel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua agensi keselamatan berkaitan kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan rakyat Israel dikesan memasuki Malaysia.
"Kita siasat … kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil. Kalau ada rakyat Israel kerana kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera," kata beliau kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai dakwaan terdapat rakyat Israel yang menggunakan dua dokumen kewarganegaraan dikesan berada di Johor.
Mengulas lanjut, Anwar berkata perkara berkenaan sedang dikendalikan oleh pihak berkuasa dan beliau percaya kementerian berkaitan akan membentangkan perinciannya.
"Ini semua agensi telah menjalankan siasatan. Saya percaya Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan beri jawapan," kata beliau.
Semalam, Kerajaan Negeri Johor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan berhubung operasi "Network School" di Forest City, yang didakwa disertai warga Israel.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata warga berkenaan dipercayai menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia bagi menyertai program itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.
Terdahulu, tular dakwaan dalam media sosial mengenai kehadiran warga asing yang didakwa memiliki pasport Israel serta dokumen kerakyatan negara lain, yang cuba memasuki atau berada di Malaysia bagi tujuan tertentu.





