31.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KATA ADUN | Keadilan tidak boleh ditangguhkan

    Shopee Sale

    KATA ADUN | Hari ini genap 17 tahun pemergian mendiang Teoh Beng Hock yang meninggal dunia secara tragis ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Setelah 17 tahun berlalu, sehingga hari ini masih tiada seorang pun yang dipertanggungjawabkan secara jenayah.

    Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan– atau dipercepatkan – oleh perbuatan menyalahi undang-undang daripada individu yang tidak dikenal pasti.

    Dapatan kehakiman tersebut kekal sebagai satu peringatan penting bahawa keadilan tidak boleh dibiarkan luput ditelan masa.

    Walau apa jua pandangan terhadap keputusan pendakwaan yang dibuat selepas itu, kelewatan yang berpanjangan serta ketiadaan pertanggungjawaban sudah pasti telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan jenayah negara.

    Justeru, ulang tahun ini bukan sekadar memperingati seorang individu, tetapi merupakan peringatan bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan.

    Prinsip yang sama juga mesti terpakai kepada skandal perlombongan Sabah.

    Menurut jawapan di oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, di parlimen kertas siasatan kes tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Jika benar demikian, rakyat berhak mengemukakan satu persoalan yang mudah dan munasabah: Apakah lagi yang masih belum diputuskan?

    Sehingga kini, hanya dua individu didakwa walaupun terdapat dakwaan awam yang melibatkan ramai pihak, termasuk Adun serta pegawai kanan perkhidmatan awam Sabah, manakala pemberi maklumat (whistleblower) juga telah didakwa.

    Oleh itu, adalah wajar sekiranya orang ramai tertanya-tanya bilakah keputusan akan dibuat berhubung baki kertas siasatan yang masih belum diputuskan.

    Saya dengan penuh hormat menyeru Jabatan Peguam Negara agar membuat keputusan terhadap kertas-kertas siasatan tersebut secepat mungkin. Sekiranya siasatan lanjut benar-benar diperlukan, ia hendaklah diselesaikan tanpa sebarang kelewatan yang tidak munasabah.

    MENARIK:  KOLUM | Apa janji Anwar pada Trump?

    Jika terdapat bukti yang mencukupi, pendakwaan hendaklah diteruskan mengikut lunas undang-undang.

    Sekiranya diputuskan bahawa tiada pendakwaan akan dimulakan terhadap mana-mana individu, maka rakyat juga berhak diberikan penjelasan selaras dengan kepentingan keadilan dan prinsip kebertanggungjawaban awam.

    Pada masa yang sama, SPRM juga mesti terus membuktikan komitmennya untuk menjalankan siasatan rasuah secara bebas, profesional serta tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa mengira kedudukan, jawatan mahupun fahaman politik mana-mana individu yang terlibat.

    Rakyat Malaysia mengharapkan institusi-institusi negara menjunjung piawaian integriti, kebebasan dan kebertanggungjawaban yang tertinggi. Sama ada melibatkan kematian dalam tahanan atau siasatan kes rasuah berprofil tinggi, keadilan hendaklah ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa kelewatan yang tidak munasabah, serta dengan penuh penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang.

    Kepercayaan rakyat tidak dapat dipulihkan hanya dengan jaminan atau kata-kata. Ia hanya dapat dibina melalui tindakan yang telus, tepat pada masanya dan tidak memihak. Hanya dengan itu keyakinan rakyat terhadap SPRM, Jabatan Peguam Negara dan sistem pentadbiran keadilan negara dapat diperkukuhkan sepenuhnya.

    Kes Teoh harus terus menjadi peringatan yang berkekalan bahawa kes-kes yang gagal diselesaikan akan menghakis keyakinan rakyat serta meninggalkan persoalan yang tidak terjawab.

    Kita mesti memastikan skandal perlombongan Sabah tidak menjadi satu lagi kes yang dikenang bukan saja kerana keseriusannya, tetapi juga kerana tempoh yang terlalu lama diambil untuk mencapai penyelesaian menurut undang-undang.

    Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan. Semoga mendiang Teoh terus bersemadi dengan aman.


    CHIN TEK MING ialah Adun Kapayan, Sabah.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah