28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | PRN Johor: Mengapa emosi atasi prestasi?

    Shopee Sale

    Keputusan PRN Johor bukan sekadar mencerminkan pertandingan antara parti politik atau kehebatan jentera kempen. Ia memperlihatkan satu perubahan yang lebih mendasar dalam landskap demokrasi Malaysia, iaitu peralihan daripada politik yang bertumpu kepada dasar dan prestasi kepada politik yang semakin ditentukan oleh naratif, emosi dan makna.

    Dalam era media sosial dan algoritma, kemenangan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada siapa yang memiliki manifesto terbaik atau rekod pentadbiran paling cemerlang. Sebaliknya, ia semakin bergantung kepada siapa yang lebih berjaya membentuk cara rakyat mentafsir realiti politik.

    Dalam hubungan ini, pilihan raya era digital semakin dilihat sebagai persaingan untuk menguasai imaginasi pengundi. Fakta, data dan pencapaian ekonomi masih penting, namun semua itu tidak lagi mampu berbicara dengan sendirinya. Ia perlu diterjemahkan kepada naratif yang mampu menyentuh pengalaman hidup rakyat. Tanpa naratif, fakta hanyalah angka. Dengan naratif, fakta memperoleh makna.

    Di sinilah letaknya perbezaan antara mengurus kerajaan dan mengurus persepsi. Sesebuah kerajaan mungkin berjaya menarik pelaburan asing, meningkatkan pertumbuhan ekonomi atau melaksanakan reformasi institusi. Namun jika pencapaian tersebut gagal diterjemahkan kepada bahasa yang dekat dengan kehidupan rakyat, ruang makna itu akan segera diisi oleh naratif lain yang lebih mudah difahami dan lebih kuat menyentuh emosi.

    Daripada perspektif semiotik, slogan politik bukan sekadar rangkaian perkataan. Ia ialah simbol yang menghimpunkan pelbagai makna dalam satu ungkapan yang ringkas. Maka simbol yang diulang secara berterusan akhirnya berubah menjadi keyakinan politik iaitu tafsiran yang diterima seolah-olah sebagai realiti yang semula jadi. Pada tahap itu, masyarakat tidak lagi menilai sesuatu slogan berdasarkan benar atau salah semata-mata, sebaliknya melalui bingkai makna yang telah terbentuk dalam pemikiran mereka.

    Ini menjelaskan bahawa manusia berfikir melalui frames atau bingkai tafsiran. Fakta tidak pernah hadir dalam ruang kosong. Sebaliknya, fakta akan sentiasa ditafsir mengikut kerangka makna yang telah dibentuk lebih awal. Sebaik sahaja sesuatu bingkai berjaya menguasai imaginasi masyarakat, setiap maklumat baharu cenderung ditafsir untuk mengukuhkan bingkai tersebut, bukannya mengubahnya.

    Kerangka inilah yang membantu menjelaskan mengapa naratif identiti begitu berpengaruh dalam PRN Johor. Pelbagai pencapaian ekonomi, agenda reformasi dan naratif kestabilan kerajaan tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan politik yang setara. Sebaliknya, perbahasan awam banyak berkisar tentang identiti, kaum, agama dan masa depan politik Melayu. Sama ada persepsi tersebut tepat atau tidak bukanlah persoalan utama dalam analisis ini. Persoalan yang lebih penting ialah mengapa persepsi itu begitu mudah mempengaruhi sebahagian pengundi.

    Jawapannya banyak berkait dengan psikologi politik. Ia menjelaskan bahawa manusia lazimnya membuat keputusan melalui proses pemikiran pantas yang dipacu oleh emosi, pengalaman dan heuristik sebelum pertimbangan rasional mengambil tempat. Dalam suasana politik yang kompleks, slogan yang ringkas lebih mudah mempengaruhi pemikiran berbanding penjelasan panjang mengenai dasar atau ekonomi.

    Johor Bahru, gambar hiasan

    Apabila rasa takut, kebimbangan dan keresahan berjaya dibangkitkan, ruang untuk pertimbangan rasional semakin mengecil. Manifesto ekonomi, agenda reformasi atau integriti calon tidak lagi menjadi pertimbangan utama. Sebaliknya, pengundi cenderung memilih pihak yang mereka rasakan mampu bertindak sebagai pelindung kepada identiti, agama dan masa depan komuniti mereka.

    Dalam konteks ini, tidak menghairankan apabila pelbagai persepsi yang terbentuk sepanjang 22 bulan pentadbiran PH 1.0 terus dihidupkan semula dalam ruang kempen. Setiap kali naratif mengenai pemulihan ekonomi, reformasi atau kestabilan diketengahkan, episod tersebut kembali dijadikan rujukan utama untuk mentafsir perkembangan politik semasa seperti apa yang dijanjikan dan kegagalan menunaikannya. Dari sudut psikologi, keadaan ini dikenali sebagai anchoring, iaitu kecenderungan manusia menilai maklumat baharu berdasarkan persepsi awal yang telah tertanam dalam ingatan mereka. Pengulangan yang berterusan menyebabkan persepsi lama terus hidup walaupun landskap politik telah berubah.

    Fenomena ini menunjukkan bahawa politik dalam era digital tidak lagi beroperasi sepenuhnya di atas realiti sebaliknya dalam ruang simulasi dan hiper realiti. Dalam ruang ini, persepsi sering kali lebih berpengaruh daripada fakta manakala simbol lebih berkuasa daripada penjelasan yang panjang. Sesuatu naratif tidak perlu sentiasa disokong oleh fakta baharu untuk terus mempengaruhi masyarakat. Ia hanya perlu diulang secara konsisten sehingga menjadi sebahagian daripada ingatan kolektif.

    Kalau masa PRN Sabah naratif “Sabah for Sabahan” mendapat tempat dalam kalangan pengundi dengan PH mengalami kekalahan, maka inilah yang menjelaskan mengapa naratif seperti "Asalkan Bukan PH-DAP" memperoleh kekuatan politik yang besar. Ia bukan sekadar slogan pilihan raya tetapi sebuah simbol yang menghimpunkan pelbagai kebimbangan mengenai identiti, kuasa politik Melayu, kedudukan Islam dan institusi raja-raja Melayu.

    Dalam keadaan sedemikian, logik sering kali tewas kepada emosi. Pelan ekonomi yang kompleks akhirnya berhadapan dengan slogan yang jauh lebih ringkas tetapi lebih mudah membentuk psikologi pengundi. Politik tidak lagi menjadi pertandingan dasar semata-mata, tetapi pertandingan untuk menentukan makna yang akan dipercayai oleh masyarakat.

    MENARIK:  ART: Tujuh akta harta intelek dipinda tahun depan

    Dalam konteks PRN Johor, naratif mengenai dominasi DAP tidak lagi berfungsi sekadar sebagai hujah politik yang perlu dibuktikan setiap kali. Sebaliknya, ia berkembang menjadi simbol yang membawa pelbagai konotasi mengenai identiti, kuasa dan masa depan politik Melayu. Apabila simbol ini beredar tanpa henti dalam ruang digital, ia membentuk realiti psikologi yang akhirnya mempengaruhi cara sebahagian pengundi mentafsir setiap perkembangan politik.

    Onn Hafiz angkat sumpah MB kali kedua

    Keadaan ini menjelaskan mengapa pelan ekonomi yang kompleks sering gagal menandingi slogan yang ringkas. Dasar ekonomi memerlukan penerangan, angka dan renungan. Sebaliknya, slogan yang membangkitkan identiti hanya memerlukan beberapa patah perkataan untuk membina sempadan yang jelas antara "kita" dan "mereka". Politik akhirnya berubah daripada persaingan dasar kepada persaingan simbol dan daripada persaingan simbol kepada persaingan emosi.

    Di kawasan luar bandar dan pinggir bandar, naratif ini menjadi lebih berpengaruh kerana ia diperkukuhkan oleh budaya komuniti. Pilihan politik tidak lagi dilihat semata-mata sebagai keputusan individu tetapi sebagai lambang kesetiaan kepada identiti kelompok. Dalam suasana seperti ini, sebahagian pengundi atas pagar mungkin memilih pilihan yang dianggap paling selamat dari sudut penerimaan sosial walaupun mereka mengiktiraf sebahagian pencapaian kerajaan. Apa yang berlaku bukan sekadar proses mengundi, tetapi proses menyesuaikan diri dengan makna yang telah diterima oleh komuniti sekeliling.

    Atas sebab itu, corak yang muncul dalam PRN Johor tidak wajar dianggap sebagai fenomena sementara. Besar kemungkinan naratif yang berasaskan identiti kaum dan agama akan terus menjadi antara strategi utama dalam PRN dan PRU akan datang. Persoalannya bukan lagi sama ada naratif tersebut akan digunakan tetapi sejauh mana parti-parti politik gabungan PH benar-benar memahami bahawa mereka sedang berhadapan bukan sekadar dengan pertandingan dasar malah lebih jauh lagi dengan peperanangan makna.

    Di sinilah terletaknya cabaran terbesar kepada PH. Kesilapan yang sering berlaku ialah menganggap naratif boleh dipatahkan hanya dengan fakta atau pencapaian pentadbiran. Hakikatnya, naratif tidak akan kalah kepada fakta semata-mata. Ia hanya dapat dicabar oleh naratif lain yang lebih meyakinkan, lebih dekat dengan pengalaman rakyat dan lebih mampu menyentuh emosi mereka. Selagi PH terus bertarung dalam gelanggang identiti yang dibina oleh pihak lawan, selagi itulah tenaga politiknya akan dihabiskan untuk menafikan persepsi, bukannya membina makna baharu.

    Naratif mengenai kestabilan politik dan pemulihan ekonomi sebenarnya mempunyai asas yang kukuh. Namun, ia gagal berkembang menjadi pengalaman yang benar-benar dirasai oleh sebahagian rakyat. Kestabilan akhirnya kekal sebagai bahasa pentadbiran, bukannya bahasa kehidupan seharian. Bagi rakyat, persoalannya bukan sekadar kadar pertumbuhan ekonomi atau jumlah pelaburan asing, tetapi sama ada kehidupan mereka benar-benar bertambah baik, peluang pekerjaan semakin luas, kos sara hidup semakin terkawal dan wakil rakyat sentiasa hadir ketika mereka memerlukan.

    PH perlu beralih daripada politik survival kepada politik harapan. Politik survival ialah keadaan apabila sebahagian besar tenaga komunikasi dihabiskan untuk mempertahankan diri, menjawab tuduhan dan menafikan persepsi. Politik harapan pula bermaksud membina imaginasi baharu tentang masa depan rakyat melalui pengalaman yang nyata, hubungan yang konsisten dengan masyarakat dan naratif yang menghubungkan pencapaian kerajaan dengan kehidupan seharian.

    Naratif seperti ini tidak boleh dibina hanya beberapa minggu sebelum pilihan raya. Ia perlu dipupuk sepanjang tempoh antara dua pilihan raya melalui kehadiran yang berterusan di peringkat komuniti, penyelesaian kepada masalah rakyat dan komunikasi yang konsisten. Naratif bukan sekadar apa yang diucapkan oleh pemimpin tetapi apa yang dialami sendiri oleh rakyat.

    Dasar, manifesto dan prestasi pentadbiran akan terus menjadi elemen penting, namun semuanya perlu diterjemahkan kepada naratif yang mampu membina hubungan emosi dengan masyarakat. Dalam demokrasi digital, fakta tanpa naratif mudah tenggelam, manakala naratif tanpa fakta akhirnya kehilangan kredibiliti.

    Jika benar politik identiti akan terus menjadi tema utama dalam PRN dan PRU akan datang, maka PH tidak boleh lagi memasuki gelanggang pilihan raya dengan keyakinan bahawa prestasi pentadbiran akan berbicara dengan sendirinya. Prestasi ialah asas kepada keyakinan, tetapi naratif ialah jambatan yang menghubungkan prestasi dengan hati dan fikiran rakyat. Tanpa jambatan itu, pencapaian yang besar sekalipun boleh tenggelam dalam gelombang persepsi yang dibina secara berulang-ulang.

    Dalam politik kontemporari, kekosongan naratif tidak pernah kekal kosong. Jika sesebuah parti gagal mengisinya dengan makna, pihak lain akan mengisinya dengan emosi. Dan apabila emosi berjaya membentuk persepsi, persepsilah yang akhirnya menentukan pilihan politik rakyat. Sebab itu, cabaran terbesar menjelang PRN dan PRU akan datang bukan sekadar memenangi kempen, tetapi memenangi perjuangan membentuk makna sebelum pihak lain mentakrifkan siapa kita di mata masyarakat.


    ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas perkembangan isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah