Bapa kepada Allahyarham Nurin Jazlin iaitu Jazimin Abdul Jalil, memutuskan untuk menolak pelawaan muncul dalam sebuah rancangan audio siar (podcast) Abang Crime selepas mendakwa pengendalinya berkongsi maklumat yang tidak tepat berhubung kes kematian anaknya.
Artikel Berkaitan: Adik Titip Ucapan Hari Lahir Ke-25 Buat Arwah Nurin Jazlin, Warganet Harap Pelaku Diberkas Walau Sudah 17 Tahun Berlalu
Artikel Berkaitan: ‘Selamat Ulang Tahun Ke-21 Kak Ngah’ – Kes Bunuh Nurin Jazlin Tak Pernah Tutup, Ayah Titip Ucapan
Dakwa salah kongsi info?

Menerusi hantaran di Threads, Jazimin meluahkan rasa terkilan apabila pengendali podcast berkenaan didakwa memuat naik kenyataan berkaitan isu asid deoksiribonukleik (DNA) yang menurutnya tidak pernah dimaklumkan kepada keluarga.
Baca di mana ya, ahli keluarga pun tidak tahu yang ada dua DNA. Maklumat diberi oleh forensik di mana, tiada apa yang boleh membantu disebabkan sudah dimandikan dan dibersihkan. Jadi keluarganya ditipu ya dengan pihak forensik dan boleh disensasikan lah ya?
Susulan perkara itu, Jazimin menjelaskan keputusan untuk tidak menghadiri podcast tersebut bukan disebabkan soal bayaran, sebaliknya kerana berasa kecewa dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh pengendalinya.
Sebab ini yang membuatkan saya memilih podcast lain. Semoga memahami keputusan yang dibuat dan bukan kerana bayaran. Dari dulu lagi saya pergi ke mana-mana tidak pernah bertanya mengenai bayaran. Jangan buat andaian di mana mencari dosa-dosa kering mahupun yang basah.
Sebelum ini, pengendali podcast Abang Crime pernah memuat naik hantaran mendakwa terdapat dua profil DNA pelaku pada tubuh Allahyarham Nurin Jazlin yang disimpan di Bank Data DNA Negara.
Aku baca balik cerita pasal Nurin Jazlin, korang tahu tak DNA 2 pelaku ada pada tubuh Nurin Jazlin. Masih disimpan dalam Bank Data DNA Negara? Tiada siapa yang tahu siapa, bila, di mana. Dapat kesan dua pelaku ini yang kemungkinan DNA dalam bank akan dipandankan sekali gus tangkapan akan dilakukan.
Menjawab kritikan yang diterima, Abang Crime menegaskan dakwaan mengenai DNA itu bukan cerita rekaan kerana dia memperoleh maklumat daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
Malah, dia turut berkongsi semula satu laporan berita yang diterbitkan pada tahun 2021 bertajuk “Kes Nurin Jazlin: Bank data DNA mampu bantu siasatan – Pakar forensik” sebagai rujukan.
Dia persoalkan tak mahu datang ke podcast saya atas sebab saya pernah buat status DNA suspek arwah Nurin Jazlin ini dahulu.
Dia tak setuju sebab ini. Tapi DNA suspek ni memang berada dalam data bank DNA negara. Saya pernah berborak dengan Puan Aidora, Pengarah DNA forensik, dan penganalisis jenayah, Kamal Affendi.
Saya juga seorang wartawan jenayah, bukan dengan latar belakang yang entah siapa tiba-tiba mahu buat podcast.
Untuk rekod, Nurin Jazlin yang ketika itu berusia lapan tahun dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos 2007 dan dipercayai dilarikan seorang lelaki yang menaiki sebuah van putih.
Pada 17 September 2007, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemukan di dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, Selangor sebelum ujian DNA mengesahkan identiti mangsa ialah Nurin Jazlin.
Sumber: Threads Jazimin, Threads Abang Crime
The post Bapa Nurin Jazlin Perjelas Kenapa Tolak Pelawaan Abang Crime Ke Podcast first appeared on OHBULAN!.





