Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) pada 8 Jun bagi mengesan dan membawa pulang pulang Tamim Dahri ke Malaysia untuk membantu siasatan kes provokasi agama.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, berkata permohonan itu dibuat selepas PDRM memohon pembatalan pasport suspek sebagai sebahagian daripada usaha mengesan keberadaannya.
Menurut Saifuddin semakan rekod pergerakan keluar masuk negara bersama Jabatan Imigresen mendapati Tamim Dahri masih berada di luar negara.
"Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, PDRM sudah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya telah mengemukakan permohonan notis merah kepada pihak Interpol pada 8 Jun lalu," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status tindakan PDRM mengesan Tamim Dahri.
Pada 17 Mac lalu, Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas dimaklumkan bahawa dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan negara melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan belum dapat mengesahkan sama ada dia memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.
Pada 17 Mei lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek.
Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan soolam, simbol suci penganut Hindu, di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.





