34 C
Kuala Lumpur
Friday, August 28, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Sultan Selangor seru umat Islam jauhi pecah amanah

    Shopee Sale

    Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru umat Islam agar menjauhi sikap pecah amanah kerana perbuatan itu boleh meruntuhkan kepercayaan dan menghilangkan keberkatan dalam kehidupan bermasyarakat.

    Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royale Office, baginda bertitah setiap individu yang diberi tanggungjawab mengurus harta dan kepentingan umat atau pihak diberi kuasa mengurus dana awam, hakikatnya memikul tanggungjawab amat besar di sisi Allah SWT.

    Justeru, baginda mahu setiap ahli masyarakat menunaikan amanah diberikan dengan penuh kejujuran, walaupun sekecil mana pun amanah berkenaan, kerana tanggungjawab tersebut merupakan asas kepada kesejahteraan dan kemerdekaan yang hakiki.

    “Sesungguhnya, mengurus dana awam dengan amanah ialah tanda cinta kita kepada umat dan negara.

    "Jangan biarkan harta yang sepatutnya memberi manfaat kepada umat diseleweng demi kepentingan peribadi

    “Yang bersalah wajib dihukum, yang amanah wajib disokong dan sistem yang baik hendaklah terus diperbaiki dari masa ke masa. Semoga Allah SWT meletakkan perbendaharaan umat Islam Malaysia di tangan hamba-hamba-Nya yang bertakwa lagi amanah,” menurut hantaran itu.

    Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa kemerdekaan yang hakiki bermula dengan kemampuan seseorang mengawal diri daripada perkara yang merosakkan, termasuk hawa nafsu, ketamakan dan pengkhianatan.

    MENARIK:  Selat Hormuz: Jepun dapat ‘laluan khas’, Iran sekat kapal negara penyerang

    Baginda menzahirkan kebimbangan apabila ketika rakyat bergelut dengan kesusahan, masih terdapat segelintir pihak yang menikmati kekayaan hasil amanah dikhianati dan keadilan dipermainkan.

    “Inilah kezaliman yang lahir apabila kuasa tidak lagi dipandu dengan sifat amanah, sebaliknya dikuasai dengan kerakusan nafsu,” titah baginda.

    Baginda turut mengingatkan umat Islam agar tidak sesekali menyangka orang yang berlaku zalim akan terlepas daripada pengadilan sebaliknya, Allah sengaja menangguhkan azab ke atas mereka yang zalim agar mereka merasakan betapa dahsyat dan gerunnya kemurkaan-Nya.

    Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah tanda-tanda kehidupan di akhir zaman semakin jelas terasa, termasuk keadaan apabila amanah diuruskan mereka yang tidak berkelayakan dan amanah dikhianati demi kepentingan diri.

    Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlil bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, sebelum menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk “Merdeka Daripada Belenggu Kerakusan”.

    Berangkat sama Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah