Setiap kali Bulan Kebangsaan tiba, media sosial kita pasti dibanjiri dengan pelbagai video dan iklan komersial bertemakan patriotik.
Karya sempena Hari Kebangsaan tahun ini masih tidak lari daripada kisah yang menyentuh emosi. Bezanya, cerita yang diketengahkan lebih dekat dengan kehidupan seharian, daripada pengorbanan keluarga dan perjuangan mencari rezeki hinggalah kepada nilai kejujuran serta sikap saling membantu.
Ada yang buat kita tersenyum, ada yang mengundang air mata, malah tidak kurang juga yang membuatkan kita terfikir sejenak tentang perkara kecil yang sering kita ambil mudah.
Kalau korang sedang mencari tontonan sempena Hari Kebangsaan tahun ini, berikut lima video yang sarat dengan kisah bermakna dan sayang untuk dilepaskan.
1. Tin Sardin – Indah Water Konsortium (IWK)
Ada masa, suatu hal yang nampak kecil boleh menguji prinsip seseorang.
Itulah yang berlaku dalam Tin Sardin, filem pendek terbitan Indah Water Konsortium (IWK) yang diinspirasikan daripada kisah benar keluarga anggota polis yang terkorban di Kampung Tawas pada 1970.
Cerita ini mengikuti kehidupan seorang ibu tunggal yang membesarkan anak anak dalam keadaan serba kekurangan.
Konflik bermula apabila anaknya membawa pulang sebungkus tin sardin yang ditemui di jalan kerana mahu meraikan ulang tahun ibunya.
Walaupun hidup mereka tidak mudah, si ibu tetap memilih untuk memulangkan barangan tersebut kerana percaya rezeki perlu datang daripada sumber yang jujur.
Keputusan itu juga berkait dengan pesanan arwah suaminya yang masih dipegang sehingga hari ini.
Dengan latar era 1970 an dan lakonan yang menyentuh hati, Tin Sardin bukan sekadar bercerita tentang sebuah keluarga, tetapi turut mengingatkan kita tentang nilai integriti dan pengorbanan seorang ibu.
2. Jangan Kau Kata – PETRONAS
Apa yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa?
Persoalan tersebut menjadi antara perkara yang cuba disampaikan menerusi filem pendek PETRONAS, Jangan Kau Kata, yang diangkat daripada puisi Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh.
Menerusi karya ini, penonton dibawa menyelami pelbagai sisi kehidupan dan warisan masyarakat Malaysia.
Daripada kehalusan songket dan wayang kulit hinggalah kepada tradisi hidup bermasyarakat, setiap elemen mengingatkan kita bahawa identiti negara terbina daripada kepelbagaian yang kita warisi.
Pada masa sama, kisah rakyat yang bekerja keras mencari rezeki turut menjadi sebahagian daripada penceritaan.
Ia menunjukkan bahawa kemajuan dan kemewahan bukan satu satunya ukuran kekayaan sesebuah negara kerana nilai kemanusiaan, empati dan kebersamaan juga memainkan peranan besar.
3. Cerita Mereka, Jiwa Malaysia – BSN
Bagi sesetengah orang, sebuah impian mungkin bermula dengan perniagaan kecil di tepi jalan atau hasil kraftangan yang dihasilkan dari rumah.
Di sebalik usaha tersebut, ada cerita tentang jatuh bangun, keberanian mencuba dan kesungguhan untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Menerusi Cerita Mereka, Jiwa Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) meraikan kisah 69 usahawan mikro tempatan sempena Hari Kebangsaan ke 69.
Daripada bidang kraftangan hinggalah perniagaan kecil, setiap individu mempunyai perjalanan tersendiri dalam mengejar impian.
Walaupun berbeza latar dan cabaran, mereka disatukan oleh semangat untuk terus berusaha dan tidak mudah mengalah.
Penampilan khas Datuk M. Nasir turut memberikan sentuhan sentimental kepada filem pendek ini.
Menariknya, cerita tentang para usahawan ini membuatkan kita sedar bahawa semangat membina negara juga datang daripada rakyat biasa yang setiap hari bekerja keras untuk keluarga dan masa depan mereka.
4. Nadi Inspirasi Kami – CelcomDigi
Tidak semua perkara baik yang berlaku di sekeliling kita perlu hadir dalam bentuk yang besar.
Kadang kadang, ia cuma seorang yang menghulurkan bantuan kepada orang lain atau seseorang yang muncul tepat pada masanya ketika pertolongan diperlukan.
Berdasarkan 34 juta kisah rakyat Malaysia, Nadi Inspirasi Kami daripada CelcomDigi mengetengahkan momen kecil yang mencerminkan sisi kemanusiaan masyarakat.
Daripada bantuan tanpa mengharapkan balasan hinggalah kepada keprihatinan terhadap orang di sekeliling, video ini menunjukkan bagaimana tindakan sederhana mampu memberi makna kepada kehidupan seseorang.
Sebab itu, keindahan Malaysia bukan hanya tentang tempat menarik, makanan atau budaya yang kita banggakan.
Ia juga terpancar melalui budi pekerti, empati dan kesediaan rakyat untuk saling membantu.
5. Pulang – Jabatan Pengankutan Jalan Raya (JPJ)
Selepas penat bekerja sepanjang hari, perkara paling mudah yang kita harapkan mungkin cuma satu iaitu dapat sampai ke rumah dengan selamat.
Filem pendek Pulang daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengetengahkan kisah Dani, seorang warga kota yang pulang lewat selepas seharian bekerja.
Sementara itu, ibunya masih setia menunggu di rumah sambil menyediakan makan malam.
Kisah yang dekat dengan kehidupan ramai ini kemudian membawa penonton kepada mesej lebih besar tentang keselamatan jalan raya dan kepatuhan terhadap undang undang.
Kerana bagi keluarga yang menunggu di rumah, kepulangan insan tersayang dengan selamat jauh lebih penting daripada cepat sampai ke destinasi.
Kisah mereka buat kita berfikir
Kalau korang perasan, kelima-lima video ni memiliki jalan cerita yang berbeza, tetapi setiap satunya membawa nilai yang dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.
Daripada seorang ibu yang mempertahankan kejujuran, usahawan kecil yang tidak pernah berhenti mencuba hinggalah kepada individu yang sanggup membantu orang lain, semuanya mengingatkan kita bahawa semangat cintakan negara boleh hadir dalam banyak cara.
Bukan sekadar melalui kibaran Jalur Gemilang atau kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, tetapi juga melalui cara kita melayan keluarga, jiran dan orang di sekeliling.
Mungkin itu yang membuatkan karya-karya tahun ini terasa begitu dekat di hati.
Di sebalik kisah tentang Malaysia, ada cerita tentang kehidupan kita sendiri.
Selamat Hari Kebangsaan 2026! 
The post Sarat Dengan Kisah Bermakna, Tonton 5 Video Hari Kebangsaan 2026 first appeared on OHBULAN!.





