25.2 C
Kuala Lumpur
Monday, July 6, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Sultan Selangor bantah garis panduan acara bukan Islam

    Shopee Sale

    Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah menzahirkan bantahan tegas terhadap cadangan garis panduan bagi kehadiran umat Islam ke majlis perayaan penganut bukan Islam.

    Dalam kenyataan yang dimuat naik di halaman Facebook Pejabat Diraja Selangor, baginda bertitah bahawa garis panduan tersebut tidak sesuai untuk diperkenalkan pada masa ini.

    "Sebagai ketua agama Islam di negeri Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan ini dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian, pada ketika sekalian rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.

    "Polemik yang tercetus ini telah sedikit sebanyak menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ini pastinya akan menjejaskan keharmonian yang telah sedia terjalin," menurut kenyataan tersebut.

    Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kabinet mengenai garis panduan yang dicadangkan itu tidak diperlukan kerana umat Islam sudah memahami batasan agama mereka.

    Kenyataan Anwar itu dibuat hanya beberapa jam selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang mengeluarkan kenyataan bersama yang menjelaskan bahawa sebarang keputusan dasar berhubung perkara itu memerlukan kelulusan Kabinet.

    Isu ini mula dibangkitkan dalam sesi Dewan Rakyat pada 5 Februari lalu apabila Na’im menyatakan kerajaan sedang merancang untuk memperkenalkan garis panduan baru.

    Cadangan itu termasuk keperluan penganjur acara mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama sekiranya melibatkan kehadiran umat Islam serta memastikan acara tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.

    MENARIK:  Lebih RM1b lagi aset 1MDB sudah dipulangkan

    Mengulas isu ini, baginda menegaskan Islam melalui al-Quran dan Sunnah serta ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipegang oleh umat Islam di Malaysia, sentiasa memberikan panduan terbaik kepada umatnya sejak sekian lama.

    Baginda bertitah, Islam menerusi Al-Quran dan Sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

    "Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana Baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan," menurut kenyataan itu lagi.

    Sambil mengingatkan Malaysia negara berbilang kaum dengan rakyat yang mengamalkan pelbagai agama dan kepercayaan, baginda menegaskan toleransi beragama tidak boleh dikompromi.

    "Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia," titah baginda.

    Selain itu, baginda menyeru umat Islam, khususnya di Selangor, agar terus memperkukuh pegangan agama dengan memperdalam ilmu serta mentaati perintah Allah.

    "Apabila setiap umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki, serta memantapkan keyakinan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka kita semua tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir-anasir luar," titah baginda lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah