Seorang lelaki maut manakala isteri dan empat anak mereka cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung setinggi kira-kira tiga meter dalam kejadian di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kejadian jam 8.43 malam itu, lelaki berusia 44 tahun itu memandu kenderaan tersebut.
Mangsa yang cedera pula, katanya, berusia antara enam hingga 48 tahun.
Katanya, keluarga berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands, Pahang bagi menziarah ahli keluarga terdekat yang meninggal dunia.
“Hasil maklumat awal, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam gaung dan terbalik dalam sungai cetek di kawasan tersebut.
“JBPM Perak telah melaksanakan size-up di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep Saver bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala lima lagi mangsa yang cedera telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam,” katanya.
Sabarodzi berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berhampiran bagi rawatan susulan.





