Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kemudian susulan konflik berterusan antara Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dan ketua-ketua wilayah.
Keputusan itu dibuat oleh Speaker DUN, MK Ibrahim Abd Rahman, awal hari ini selepas majlis pembukaan dewan diboikot oleh Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin, yang mendesak Tuanku Muhriz melepaskan jawatannya.
“Persidangan hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh akan dimaklumkan kelak.
"Saya harap apa yang berlaku di Negeri Sembilan nanti, sebelum kita bersidang akan datang dapat dijernihkan," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut di Seremban.

Majlis hari ini yang disempurnakan oleh Tuanku Muhriz sepatutnya membuka persidangan pertama DUN bagi tahun ini.
Mengikut jadual asal, persidangan itu dijadual berlangsung bermula Isnin ini (27 April) hingga 29 April.
Bagaimanapun, para undang mengumumkan malam tadi bahawa mereka tidak akan menghadiri majlis tersebut, dengan merujuk kepada keputusan mereka untuk “memecat” Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Mereka turut menggesa Menteri Besar Aminuddin Harun menangguhkan majlis berkenaan sehingga seorang Yang Dipertuan Besar baru dilantik secara sah.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada ketiadaan empat undang dan Tunku Besar Tampin menjejaskan kesahihan DUN, Ibrahim menafikannya.
"Perasmian hari ini cukup syarat sebab itu ia boleh ditangguh.
“Kalau tidak cukup syarat, tidak boleh tangguh...hari ini perasmian cuma titah Tuanku Muhriz sahaja.





