34 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kenapa pengisytiharan Undang tak sah, menurut bekas hakim

    Shopee Sale

    Bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus berpendapat bahawa pengisytiharan bagi memecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai tidak sah.

    Cicit kepada bekas undang Johol Wan Saeto Rubah pada abad ke-19 itu membangkitkan sama ada para undang menjalankan siasatan penuh dan lengkap terhadap dakwaan salah laku Tuanku Muhriz, seperti didakwa.

    “Saya tidak mengetahui tentang bentuk dakwaan terhadap baginda; saya juga tidak mengetahui sama ada terdapat siasatan penuh dan lengkap termasuk memberi hak kepada Yang di-Pertuan Besar untuk didengar mengikut peraturan keadilan yang asasi. 

    “Atas andaian bahawa tiada proses sewajarnya dijalankan dalam tuntutan penurunan takhta itu, maka pengisytiharan yang didakwa dikeluarkan oleh tiga undang dan Mubarak (Thahak) adalah tidak sah,” katanya dalam artikel disiarkan The Edge.

    Katanya, perkara itu dinyatakan dalam Perkara 10, Fasal (1) Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

    Ahad lepas, Undang Yang Empat membuat pengisytiharan melucutkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, serta melantik Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baru berkuat kuasa serta-merta.

    Mubarak, yang membacakannya, mendakwa terdapat salah laku Tuanku Muhriz yang mencemarkan institusi diraja di Negeri Sembilan.

    MENARIK:  Kastam Sabah rampas 6 kontena arak bernilai lebih RM2.74 juta

    Dakwaan salah laku itu tidak diperincikan.

    Sementara itu, Hishamudin berkata pengisytiharan Mubarak yang dipecat sebagai undang Sungai Ujung juga, walaupun dipertikaikan, menjadikan dia “pihak yang berat sebelah”.

    “Dia tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada pengisytiharan tersebut,” kata Hishamudin.

    Hishamudin mengambil maklum bahawa Perkata XXIX menyebut bahawa keputusan undang dianggap dijalankan jika hanya dilaksanakan oleh sekurang-kurangnya tiga undang atau oleh majoriti yang masih hidup.

    “Bagaimanapun, dengan penyertaan bekas Undang Sungai Ujong, Mubarak, kesahan pengisytiharan itu menjadi dipersoalkan, meskipun terdapat peruntukan perkara ini,” katanya.

    Sementara itu, Hishamudin juga menganggap pengisytiharan itu sebagai sebelah pihak.

    “Pada pendapat saya, ia tidak boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang melainkan dan sehingga terdapat pengisytiharan yang dikeluarkan bersama oleh para undang dan menteri besar seperti yang ditetapkan oleh proviso kepada Fasal (2) Perkara X. 

    “Menteri besar, bagaimanapun, bukan sebahagian daripada pengisytiharan itu. Malah, dia dilaporkan berkata bahawa dia tidak mengiktiraf pengisytiharan tersebut,” katanya.

    Hishamudin, yang juga anak Negeri Sembilan daripada suku Biduanda, berdoa agar penyelesaian secara damai dapat dicapai untuk krisis itu.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah