Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman menzahirkan komitmen untuk membawa penambahbaikan kepada agensi itu secara menyeluruh.
Beliau mengakui walaupun tempoh sebulan menerajui SPRM menjadi cabaran berikutan latar belakang kerjaya yang berbeza, namun setiap individu yang diberikan amanah perlu bersedia memikul tanggungjawab dan tidak boleh mengelak daripada cabaran yang dihadapi.
“Seperti yang diketahui, latar belakang saya sebelum ini lain daripada skop yang saya kendalikan sekarang. Bagi saya ini suatu cabaran dan pada peringkat apa sekali pun, kita perlu memikul cabaran tersebut.
“Kita tidak boleh lari daripada cabaran. Jadi saya berharap untuk penambahbaikan serta kemajuan kepada organisasi secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media khas SPRM di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baharu selepas dilantik menerajui SPRM pada 13 Mei bagi tempoh kontrak selama dua tahun.
Pada 25 April, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Abd Halim yang juga bekas Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM.





