Bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas berhujah bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain tidak boleh membicarakan dengan adil saman pendakwaan yang berniat jahat terhadapnya.
Ini, katanya kerana pesuruhjaya kehakiman itu telah membuat penemuan tidak tepat mengenai dirinya yang didakwa mengakui bahawa dia berperananan dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Umno pada 2018.
Dalam afidavit yang memohon dia dilucutkan, Thomas mendakwa pesuruhjaya kehakiman itu membuat andaian yang salah tentang petikan dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” pada 2021.

Dakwanya, Roz Mawar merujuk kepada petikan pada halaman 219 dan 220 buku itu, yang memperincikan pengalaman Thomas pada hari pengundian pilihan raya umum ke-14.
“Suasana adalah ceria, tenang dan penuh keyakinan. Saya pasti bahawa kita berada di puncak sejarah. Gabungan BN yang amat dibanggakan, yang telah mentadbir Malaysia secara berterusan selama 61 tahun itu, berada di ambang kekalahan.
"Sejarah sedang dilakarkan, dan kami adalah sebahagian daripadanya."
Thomas menjelaskan petikan yang dikatakan dirujuk oleh Roz Mawar hanyalah mengenai proses demokrasi pilihan raya umum yang mana gabungan BN pimpinan Umno kalah.
“Mana-mana orang munasabah membaca ini akan membuat kesimpulan seperti itu. Mereka tidak akan membuat kesimpulan bahawa saya 'mengakui' mempunyai perananan dalam menjatuhkan kerajaan BN, seperti yang ditentukan oleh Roz Mawar.
“Saya tidak pernah terlibat dalam politik atau menjadi ahli mana-mana parti politik.
“Justeru, penemuan Yang Arif bahawa saya ‘mengakui’ dalam buku saya, bahawa saya berperananan dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan BN adalah tidak berasas sama sekali,” kata Thomas dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini.
Tambahnya, Roz Mawar juga membuat penemuan tidak tepat mengenai memoirnya, berhubung dakwaan bahawa dia mengaku menekan SPRM untuk menyiasat bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.
Thomas mendakwa ini adalah antara pandangan salah yang terkandung dalam penghakiman Roz Mawar baru-baru ini untuk menolak permohonannya untuk membatalkan saman Shahrir terhadapnya.





