Kabinet hari ini dimaklumkan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang akan dibentangkan adalah berbeza berbanding apa yang dicadangkan kerajaan sebelum ini.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, hal itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said, dalam mesyuarat jemaah menteri.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal undang-undang dan reformasi institusi.
Kata Fahmi, jika semalam pembangkang mendakwa cadangan RUU tersebut mendapat bantahan daripada kakitangan parlimen, kali ini kerajaan perpaduan akan mengemukakan RUU yang berbeza daripada apa yang pernah dirancang,
"Sukacita saya maklumkan, setelah kami buat semakan, draf yang dibawa oleh Azhar pada waktu itu berbeza dengan draf sekarang.
"Ini yang dimaklumkan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman semasa mesyuarat jemaah menteri," katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Azhar yang dipetik Fahmi itu merujuk kepada Azhar Harun yang sebelum ini berkhidmat sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Semalam Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, menganggap rancangan kerajaan membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen boleh menyebabkan negara “lingkup” kerana ia tidak seperti yang diuar-uarkan oleh Azalina.
Katanya, jika RUU berkenaan dianggap sebagai permulaan kepada era baru dan “ibu segala pembaharuan” negara akan menerima kesan yang buruk.

Malah, kata Hamzah, cadangan untuk menggubal RUU sebegitu pernah dibincangkan oleh Azizan dengan kakitangan parlimen dan ia tidak dipersetujui 70 peratus daripada mereka.
Melalui RUU tersebut kerajaan mahu memastikan pengasingan kuasa secara demokratik dilaksanakan dengan memastikan parlimen berkuasa ke atas hal ehwal sendiri, dan bukannya bergantung kepada cabang eksekutif.
Ia akan mewujudkan perkhidmatan berasingan untuk parlimen dan bebas daripada sistem perkhidmatan awam.
Akta itu - jika diluluskan nanti - membolehkan parlimen menyediakan kakitangan tambahan untuk Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Mereka akan dilantik daripada perkhidmatan awam am dan memegang jawatan sehingga umur persaraan wajib.
Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Speaker Dewan Rakyat menjadi sebagai pengerusi bersama, diikuti oleh timbalan yang dipertua dan timbalan speaker.
Majlis itu akan merangkumi dua ahli Dewan Negara dan empat ahli Dewan Rakyat serta kerani kedua-dua dewan dan pegawai kerajaan yang lain.





