Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio berkata bahawa satu perjanjian dengan Iran masih boleh dicapai walaupun terdapat serangan baharu negara itu yang menimbulkan keraguan terhadap gencatan senjata mereka yang rapuh.
"Ada beberapa rundingan sedang berlangsung di Qatar hari ini, jadi kita akan lihat sama ada kita boleh mencapai kemajuan.
“Saya fikir terdapat banyak perbincangan ulang-alik yang sedang berlaku mengenai bahasa khusus dalam dokumen awal, jadi ia akan mengambil masa beberapa hari," kata Rubio kepada wartawan di Jaipur semasa lawatan rasmi ke India, pada Selasa.

"Presiden menyatakan hasrat untuk mencapainya. Dia sama ada akan membuat perjanjian yang baik atau tiada perjanjian langsung," katanya yang dipetik oleh AFP.
Sementara itu, Reuters melaporkan Presiden Donald Trump meminta Arab Saudi, Qatar, Pakistan, Turkiye, Mesir dan Jordan menyertai Perjanjian Abraham secara beramai-ramai untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel ketika dia berusaha merundingkan perjanjian bagi menamatkan peranang dengan Iran.
Setakat ini, Pakistan menolak cadangan itu.
Selain Pakistan, tiada negara lain yang disebut Trump memberikan reaksi terbuka terhadap tuntutan berkenaan dan respons positif dilihat sukar berlaku ketika sentimen tidak percaya terhadap Israel dalam kalangan rakyat negara-negara Islam itu masih tinggi susulan operasi ketenteraan besar-besaran Israel di Gaza.

Trump berkata, dia telah berhubungan dengan pemimpin negara-negara terbabit Sabtu lalu, selain Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang sudah pun menandatangani Perjanjian Abraham, iaitu siri perjanjian untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel.
"Saya secara rasmi meminta semua negara segera menandatangani Perjanjian Abraham dan sekiranya Iran menandatangani perjanjian dengan saya sebagai Presiden Amerika Syarikat.
“Ia akan menjadi satu penghormatan untuk mereka turut menjadi sebahagian daripada gabungan dunia yang luar biasa ini," tulis Trump di platform Truth Social.
Katanya, usaha itu sebahagian daripada "segala kerja yang dilakukan Amerika Syarikat untuk menyatukan teka-teki yang sangat kompleks ini."
Reuters yang memetik sumber Pakistan melaporkan, kenyataan Trump mencerminkan cubaan menggunakan diplomasi gencatan senjata Iran bagi memperluaskan Perjanjian Abraham, namun kedua-dua isu itu "tidak saling berkaitan dan tidak boleh dikaitkan."
"Pakistan tidak terikat untuk mematuhi sebarang tuntutan sedemikian," kata sumber itu.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, juga tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan komen mengenai kenyataan Trump itu.
Trump mendakwaa, satu atau dua negara yang dia hubungi mungkin mempunyai alasan untuk tidak menyertai perjanjian itu, namun kebanyakannya dijangka "bersedia, rela dan mampu" menjadikan penyelesaian dengan Iran sebagai "peristiwa bersejarah yang jauh lebih besar."





