25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kemaraan Tiong, peluasan pengaruh PDP goncang GPS?

    Shopee Sale

    Sedikit ahli politik di Malaysia hari ini memiliki gaya seperti Tiong King Sing. Sebahagian pengkritik konservatifnya di Semenanjung Malaysia tersilap melabelkan dia sebagai "menteri Cina DAP", tanpa menyedari dia sebenarnya mengetuai sebuah parti Sarawak yang majoriti ahlinya terdiri daripada kaum pribumi.

    Namun, dia menikmati populariti yang besar dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia.

    Pada masa sama, walaupun memperjuangkan perpaduan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), dia secara beransur-ansur memperluas pengaruh politiknya sendiri dan Parti Demokratik Progresif (PDP) - malah ada kalanya memberi tekanan kepada rakan gabungan.

    Sejak lebih tiga tahun lalu, menteri pelancongan, seni dan budaya itu kerap menguasai tajuk utama berita nasional sejak memegang jawatan pada Disember 2022.

    Daripada bergegas sendiri ke lapangan terbang untuk "menyelamatkan" pelancong China, kontroversi penyenaraian Bak Kut Teh sebagai makanan warisan kebangsaan, sehinggalah terbaru isu Rain Rave Water Music Festival 2026 - Tiong konsisten menangani isu secara turun padang dan berada di barisan hadapan.

    Walaupun ada yang mengaguminya kerana gaya politik santai dan sering turun padang, dia juga dikenali kerana sikap terus terang, khususnya dalam isu melibatkan bukan Islam. Pada masa sama, ada pihak menuduhnya gemar "menjolok sarang tebuan" mencetuskan kontroversi.

    Namun, sama ada dikagumi atau dibenci, Tiong tidak dapat dinafikan sudah menjadi antara menteri paling dikenali dalam kerajaan Madani hari ini.

    Di sebalik perhatian nasional itu pula, dia sedang menggerakkan peluasan pengaruh politik yang jauh lebih besar di negeri asalnya, Sarawak.

    Perubahan struktur kuasa tradisional

    Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) PDP di Sibu pada pagi 16 Mei lalu menjadi lambang kekuatan besar parti itu.

    Dewan penuh sesak dengan perwakilan dan ahli parti dari seluruh Sarawak. Ketika bendera GPS dan PDP berkibar tanpa henti serta lagu parti dimainkan berulang kali, Tiong naik ke pentas disambut tepukan gemuruh berdiri hampir seminit.

    Dalam kebanyakan parti politik Malaysia, suasana seperti itu agak luar biasa. Lebih separuh hadirin terdiri daripada pribumi Sarawak namun individu di tengah pentas yang menerima sorakan paling kuat ialah seorang pemimpin keturunan Cina.

    Sekian lama, politik Malaysia bergerak mengikut struktur kuasa yang jelas: parti majoriti kaum mengurus komuniti masing-masing, parti berasaskan masyarakat Cina tertumpu di bandar manakala parti pribumi menggerakkan akar umbi luar bandar. Malah, dalam gabungan seperti GPS, parti komponen selama ini memahami batas pengaruh masing-masing.

    Namun, Tiong sedikit demi sedikit merobohkan sempadan politik itu. Sebahagian sebab Tiong berjaya membina sokongan dalam kalangan pribumi Sarawak berpunca daripada sifat unik politik negeri itu sendiri.

    Berbanding Semenanjung Malaysia, budaya politik Sarawak secara tradisi kurang terikat dengan ideologi dan kurang terpisah-pisah mengikut kaum. Politik tempatan lebih menitikberatkan pengaruh setempat. Personaliti, pengaruh tempatan, akses kepada sumber kerajaan negeri serta kemampuan membawa pembangunan sering lebih penting berbanding kedudukan ideologi.

    Seperti banyak sistem politik dominan lain, politik Sarawak juga banyak bergerak melalui jaringan penaung politik dan tokoh kuasa tempatan. Dalam persekitaran sebegitu, pemimpin yang dilihat berkesan, berkeupayaan dan mampu membawa projek serta akses kerajaan persekutuan lebih mudah merentas batas kaum berbanding di Semenanjung.

    Gaya politik Tiong - sangat menonjol, terus terang, turun padang dan berorientasikan hasil nyata - sesuai dengan ekosistem politik itu.

    Dia bukan pemimpin politik Cina Malaysia konvensional dan tidak gemar retorik ideologi berat yang sering dimainkan ahli politik Malaysia Barat.

    Sebaliknya, dia bergerak sebagai "ahli politik berorientasikan tindakan" - terus terang, ekspresif, pantas bertindak dan memiliki gaya berani yang tersendiri.

    Walaupun pendekatan itu sering mengundang rasa kurang senang dalam birokrasi tradisional, ia memberi profil awam yang sangat menonjol.

    Lebih-lebih lagi dalam suasana politik semasa, selepas beberapa perubahan kuasa persekutuan yang menyebabkan rakyat semakin jemu dengan retorik birokrasi, menteri yang sanggup turun sendiri ke lokasi, menyelesaikan masalah secara langsung dan berdepan penjawat awam mudah mendapat sokongan akar umbi.

    Tiong berjaya menukar jenama peribadi itu menjadi modal politik yang besar.

    Dua pelan peluasan kuasa PDP

    Sebenarnya, cerita utama bukan keterlihatan Tiong dalam kabinet persekutuan, sebaliknya bagaimana dia membentuk semula PDP.

    Parti itu diasaskan pada 2002 sebagai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) selepas pembatalan pendaftaran Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan lama dianggap parti komponen paling kecil dalam gabungan yang akhirnya menjadi GPS.

    Keadaan berubah pada 2014 apabila krisis kepimpinan meletus. Selepas kumpulan diketuai William Mawan Ikom keluar parti, Tiong mengambil alih kawalan penuh terhadap PDP.

    Sebaik mengambil alih, matlamat utama Tiong bukan sekadar memastikan kelangsungan parti, tetapi peluasan agresif.

    Pada 2017, dia mengetuai penjenamaan semula parti dengan memendekkan nama kepada PDP.

    Secara zahir, ia cuma pertukaran nama. Namun, secara strategik ia langkah untuk menghilangkan imej terlalu bersifat tempatan. Jika "SPDP" membawa konotasi wilayah, "PDP" memberi isyarat cita-cita peluasan lebih besar.

    Pada masa sama, Tiong mula memperluas pengaruh organisasi ke Semenanjung Malaysia.

    PDP menubuhkan dua bahagian sementara di Selangor dan enam di Johor.

    Tiong mempertahankan langkah itu sebagai usaha kebajikan membantu rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung.

    Namun, pemerhati politik Sarawak melihatnya sebagai isyarat simbolik jelas: sebuah parti wilayah yang lahir dari pedalaman Sarawak kini cuba membina pengaruh merentas wilayah.

    Lonjakan sebenar kekuatan PDP pula berlaku pada 2024 apabila parti itu menyerap Parti Sarawak Bersatu (PSB).

    MENARIK:  KPN gesa orang ramai tak sertai himpunan berhubung kuasa perogatif Agong

    Melalui langkah itu, PDP bukan sekadar membawa masuk beberapa ahli politik, tetapi seluruh jentera sebuah parti pembangkang terbesar Sarawak sebelum ini.

    PSB asalnya lahir daripada serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan pemimpin utamanya Wong Soon Koh dianggap antara tokoh berpengaruh SUPP.

    Pada pilihan raya negeri Sarawak 2021, PSB memenangi empat kerusi: Bawang Assan, Engkilili, Ba'Kelalan dan Batu Lintang.

    Selain See Chee How (Batu Lintang) yang kemudian keluar parti, wakil rakyat lain akhirnya menyertai PDP selepas penggabungan.

    Dengan satu langkah itu, PDP berubah daripada parti kecil yang hanya memiliki lima kerusi luar bandar menjadi pencabar serius.

    Lapan kerusi dimiliki kini memberinya lebih banyak kuasa tawar-menawar dalam GPS.

    Masuk ke kawasan sekutu sendiri

    Peluasan pantas itu menyentuh isu paling sensitif dalam GPS: pembahagian kerusi dan kawasan pengaruh.

    Kerusi Bawang Assan dan Engkilili yang dipegang Wong serta Johnical Rayong Ngipa selama ini secara tradisi ditandingi SUPP.

    Maka peluasan PDP berlaku dengan mengorbankan kawasan sekutunya sendiri.

    Pergeseran antara dua parti itu sebenarnya sudah bermula sejak pilihan raya negeri 2021 apabila Tiong diletakkan GPS bertanding di DUN Dudong - kawasan yang dipegang SUPP selama beberapa dekad.

    Walaupun kedua-dua pihak tidak mengisytiharkan peranang terbuka, keretakan hubungan itu tidak pernah benar-benar pulih.

    Dewan Undangan Negeri Sarawak perlu dibubarkan selewat-lewatnya Februari tahun depan, maka pilihan raya negeri semakin hampir dan ketegangan politik semakin memuncak.

    Sejak awal tahun ini, Tiong dan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian (gambar, bawah) beberapa kali saling berbalas kenyataan terbuka berkaitan agihan kerusi serta pelantikan ketua masyarakat.

    Walaupun masih berada di bawah GPS, hubungan tegang mereka bukan lagi rahsia.

    Kongres PDP pada 16 Mei lalu bukan sekadar mesyuarat rutin perwakilan, tetapi pentas menunjukkan kekuatan dan percaturan politik.

    Mengambil pendirian keras, Tiong menegaskan PDP mesti mempertahankan kesemua lapan kerusi negeri dimilikinya.

    Tanpa menyebut SUPP secara langsung, dia mengkritik sekutu gabungan yang "memperkecil, memandang rendah dan membuli" PDP.

    Peranan penentu kuasa

    Bercakap di depan pengerusi GPS Abang Johari Openg, Tiong menjelaskan pendirian PDP yang tidak akan berkompromi soal maruah dan kepentingan kerusi.

    "Perpaduan ialah kekuatan kita, tetapi perpaduan mesti datang bersama keadilan.

    "Kita tidak mahu hanya menjadi penonton dalam gabungan ini. Kita mahu menjadi penentu."

    Walaupun kenyataan itu jelas mencabar sekutunya, Tiong segera mengimbanginya:

    "Kita ingin tegaskan di sini, PDP kekal komited sepenuhnya kepada GPS."

    Apabila Abang Johari mengambil pentas selepas itu, dia dilihat cuba meredakan keadaan.

    Tanpa menamakan sesiapa, Premier Sarawak itu mengingatkan suara Sarawak hanya mampu menjadi penentu kuasa di peringkat persekutuan jika perpaduan terus dipelihara.

    Dia mengimbau krisis politik "Langkah Sheraton" pada 2020 apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menghubunginya pada jam 2 petang.

    Selepas GPS menyatakan sokongan, Muhyiddin mengangkat sumpah perdana menteri pada jam 5 petang hari sama.

    "Sarawak yang menentukan," kata Abang Johari.

    Dia kemudian memberi peringatan penuh makna:

    "Selagi kita bersatu, kita akan menentukan masa depan Malaysia. Dengan kata lain, mereka tidak akan mendengar jika kita tidak bersatu."

    Sepanjang ucapannya, Abang Johari berhati-hati mengelak menyebut PDP atau SUPP secara khusus.

    Dia juga tidak memberi jaminan sama ada PDP akan dibenarkan mempertahankan semua lapan kerusinya atau tidak.

    Namun, semua yang hadir memahami matlamat sebenar: mengurus perebutan pengaruh dan kebimbangan yang semakin mengancam perpaduan GPS.

    Tonggak baru atau liabiliti politik?

    PDP hari ini tidak lagi boleh dianggap parti kecil. Ketika penjenamaan semula 2017, parti itu melaporkan sekitar 97,000 ahli.

    Menurut pengumuman Tiong pada kongres itu, jumlah kini melepasi 250,000.

    Lebih penting, pengaruh Tiong melangkaui angka organisasi.

    Dia memiliki pendedahan nasional serta populariti akar umbi yang sukar ditandingi - walaupun sering disertai kontroversi dan kritikan.

    Bagi GPS yang selama ini bergerak berasaskan dinamik tempatan, agak jarang terdapat tokoh politik dari Sarawak yang mampu menembusi naratif nasional.

    Kedudukan unik itu memberi Tiong momentum politik luar biasa bagi seorang pemimpin parti komponen lebih kecil.

    Ketika ditanya Malaysiakini mengenai perebutan kerusi, Tiong menolak konsep "kerusi tradisi".

    "Dulu parti kami juga ada kerusi yang diambil alih parti komponen lain dalam gabungan," katanya.

    Berhubung spekulasi PDP mahu berkembang kekal ke Semenanjung Malaysia, Tiong menafikan hasrat bertanding di sana.

    Dia juga tidak terganggu dengan pihak yang tersilap menganggapnya "menteri DAP", sambil menjelaskan portfolionya memang memerlukan kerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan yang dipimpin Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkaitan pelancongan, penerbangan dan laluan udara.

    "Semua itu tidak penting.

    "Yang paling penting ialah menyumbang kepada negara, rakyat dan ekonomi."

    Dalam banyak hal, kenyataan itu menggambarkan jenama politik Tiong. Dia tidak terlalu mempedulikan ideologi atau teori politik abstrak.

    Fokusnya tertumpu kepada pelaksanaan, kecekapan dan penyelesaian masalah secara pantas.

    Gaya itu menjadikannya menonjol dalam sistem politik yang menghargai aturan, tertib dan hierarki.

    Namun, pada masa sama, ia memastikan geseran tidak pernah jauh.

    Kawan politik Tiong semakin ramai dan musuh politiknya juga semakin bertambah.

    Ketika pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir dan perebutan pengaruh PDP-SUPP semakin sengit, jawapannya bakal muncul:

    Adakah Tiong akan menjadi tonggak kuasa baru GPS - atau individu yang menggugat keseimbangan dalaman gabungan itu?

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah