Di tengah-tengah spekulasi pergeseran antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, menggesa peguam negara (AG) untuk meneliti semula 47 pertuduhan berkaitan rasuah yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Rayer mempersoalkan mengapa pendakwaan terhadap pengerusi BN dihentikan sedangkan kerajaan kini dilihat mengambil tindakan tegas terhadap pelbagai kes rasuah.
Pemimpin DAP itu berkata, piawaian yang sama mesti terpakai kepada sekutu dan seteru politik.
Dia juga menggesa pihak berkuasa untuk meneruskan semula pendakwaa jika bukti dan undang-undang mewajarkan tindakan sedemikian.
"Oleh itu, soalan saya kepada peguam negara sekarang ialah mengapa beberapa kes dakwaan rasuah diteruskan dengan bersungguh-sungguh sementara kes tertentu ini telah ditamatkan?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan permohonan pendakwaan untuk pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes rasuah Zahid.
Pendakwa raya utama, Dusuki Mokhtar, yang merupakan Peguam Negara semasa, telah mengemukakan 11 sebab untuk permohonan itu, termasuk untuk membolehkan pihak pendakwaan menjalankan siasatan yang lebih komprehensif dan lengkap terhadap kes Zahid.
Walaupun DNAA membuka kemungkinan Zahid akan didakwa pada masa hadapan jika pihak pendakwa raya ingin mengkaji semula perkara itu, keputusan itu telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, seperti bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, yang menggelarnya sebagai "pembaziran dana awam".
Mengulas lanjut, Rayer menekankan bahawa pertuduhan dikaitkan dengan Zahid adalah serius dan telah melalui perbicaraan yang panjang sebelum pihak pendakwaan menghentikan kes itu selepas diminta membela diri.
Pemimpin DAP itu menambah bahawa gesaannya bukan bertujuan untuk mengisytiharkan Zahid bersalah, tetapi lebih kepada kesaksamaan di sisi undang-undang, konsistensi dalam pendakwaan, dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan.
"Jika kerajaan serius untuk memerangi rasuah, tidak boleh ada satu standard untuk lawan politik dan satu lagi untuk sekutu politik," katanya.
Dia menambah bahawa pendakwaan terhadap bekas pemimpin politik baru-baru ini menunjukkan bahawa kerajaan bersedia untuk bertindak menentang rasuah tanpa mengira betapa berkuasa atau hubungan baik dengan seseorang individu itu.
Dia seterusnya menggesa peguam negara untuk menangani kebimbangan orang ramai mengenai persepsi pendakwaan politik terpilih.
"Jika kerajaan ini benar-benar ingin meyakinkan rakyat Malaysia bahawa era pendakwaan terpilih telah berakhir, maka ia mesti menunjukkan prinsip itu secara konsisten - termasuk dalam kes timbalan perdana menteri," tegasnya.





