GLOBAL | Angka kematian akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat di sempadan China-Nepal minggu lalu meningkat kepada 1,220 orang dengan 4,762 orang – termasuk 844 warga asing – masih hilang.
Memetik sumber terkini semalam, Anadolu Ajansi melaporkan sebanyak 1,204 mayat ditemukan di Nepal sejak bencana melanda negara Himalaya itu pada 26 Ogos lalu.
Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal juga memaklumkan terdapat 301 orang cedera dan 4,216 masih hilang.
Nepal juga memaklumkan kira-kira 900 anggota yang ditempatkan di beberapa stesen jana kuasa hidroelektrik di negara itu masih belum dikesa.
Pihak berkuasa berkata seramai 11,993 orang diselamatkan dari kawasan yang dilanda banjir. Sementara itu 21,314 anggota keselamatan termasuk tentera dan polis dikerahkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan.
Mereka memaklumkan, kira-kira 1.6 juta orang terjejas akibat bencana berkenaan.
Xinhua News pula melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang maut di bahagian sempadan China manakala 546 masih hilang termasuk 261 warga asing.
Akses ke kawasan utama Pelabuhan Gyirong di Tibet – yang dinamakan China sebagai Wilayah Autonomi Xizang – dipulihkan semalam selepas kerja pembaikan “sepanjang masa” dilakukan selama beberapa hari bagi membaiki lebuh raya yang rosak, lapor agensi berita berkenaan.
Pasukan penyelamat, bekalan bantuan dan sebahagian peralatan menyelamat memasuki kawasan utama operasi melalui jalan yang dibaiki itu.
Seramai 44 anggota Pasukan Bantuan Bencana Korea Selatan tiba di Nepal pada Rabu bagi membantu mencari mangsa yang masih hilang. Sekurang-kurangnya sembilan warga Korea Selatan masih belum ditemukan.
Beijing turut menghantar pakarnya, selain dron, perananti serta reagen ujian DNA, peralatan penulenan air dan kelengkapan pencahayaan, lapor media kerajaan.
India turut menghantar pakar analisis DNA.
Bencana itu berlaku pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal, pecah sebelum jatuh dari ketinggian kira-kira 5,200 meter sehingga mencetuskan runtuhan ais dan batu yang kemudian berkembang menjadi aliran puing besar serta melanda lembah di sepanjang sempadan.
Aliran air yang besar bersama gelongsoran lumpur memusnahkan kawasan Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Kavre dan Lembah Kathmandu di Nepal, selain menimbus lintasan sempadan Gyirong dengan Nepal di barat daya Tibet.





