KOLUM | Pagi 31 Ogos 2026 lalu, Dataran Putrajaya sekali lagi bergema dengan laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali, sebaik sahaja Perdana Menteri Anwar Ibrahim, membacakan Ikrar Rukun Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, bertemakan “Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati”, menghimpunkan lebih 100,000 pengunjung dan 10,819 peserta daripada 76 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara, serta persembahan “Gema Inovasi Madani” yang memukau. Ini kali kelapan Putrajaya menjadi tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan sejak 2003.
Namun di sebalik kemeriahan itu, saya tertanya-tanya satu perkara yang jarang disebut dalam liputan media arus perdana: di manakah sebenarnya tempat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perarakan besar ini?
Hasil semakan saya di laman web rasmi dan media sosial, saya dapati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menawarkan peluang kepada golongan OKU untuk menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2026 – tetapi sebagai khalayak, bukan sebagai peserta perbarisan.
Tawaran ini dibuka di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya, dengan raptai penuh pada 29 Ogos dan sambutan sebenar pada 31 Ogos, bermula seawal 5.30 pagi sehingga 11.30 pagi. Jumlah tempat yang disediakan hanya 200 sahaja, terbuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas, dan peserta yang memerlukan bantuan pergerakan digalakkan hadir bersama pengiring.
Saya tidak menafikan niat baik di sebalik inisiatif ini. Sekurang-kurangnya ada usaha untuk memastikan golongan OKU turut merasai suasana sambutan kemerdekaan negara secara dekat. Tetapi soalan yang lebih besar tetap tinggal: mengapa penyertaan OKU dalam sambutan Hari Kebangsaan – selepas 69 tahun negara merdeka – masih terhad kepada status “khalayak” atau “penonton”, dan bukan sebagai kontinjen yang turut berbaris, mewakili sebuah komuniti yang sah dalam jalinan kebangsaan kita?
Berdasarkan carian saya, tiada laporan menunjukkan wujudnya kontinjen rasmi OKU atau warga emas yang berbaris bersama Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, badan beruniform, GLC, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam perbarisan utama tahun ini.

Perbarisan tahun ini dibahagikan kepada enam komponen – Kenegaraan, Kesejahteraan, Ekonomi, Kelestarian Ekonomi Jingga, Ketenteraman Awam dan Keselamatan Negara – namun tiada satu pun mewakili kehadiran fizikal komuniti OKU sebagai peserta.
Penglibatan OKU lebih ketara dalam majlis-majlis berasingan sepanjang Bulan Kebangsaan, seperti majlis “Hari Kanak-Kanak, OKU dan Warga Emas” di peringkat negeri – majlis yang bersifat kebajikan, bukan sebahagian daripada perayaan kenegaraan utama.
Perkara ini menjadi lebih membimbangkan apabila kita meneliti angka. Menurut rekod rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat tahun 2026, terdapat kira-kira 833,000 OKU berdaftar di Malaysia, atau sekitar 2.4 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Namun angka ini dipercayai jauh lebih rendah daripada realiti sebenar, disebabkan stigma, rasa malu untuk mendaftar dan kebimbangan didiskriminasi. Jika golongan sebesar ini – yang merentasi hampir setiap kaum, kawasan dan lapisan masyarakat – masih dilihat sebagai kumpulan sampingan dalam perayaan terbesar negara, apakah ini mencerminkan sejauh mana kita benar-benar memahami erti “rakyat” dalam ungkapan “rakyat Malaysia bersatu”?
Ini bukan sekadar soal protokol atau logistik. Ini soal falsafah bagaimana negara ini melihat golongan OKU – sama ada sebagai rakyat yang turut membina dan mewarisi kemerdekaan, atau sekadar golongan yang “dijemput menonton” hasil kerja orang lain.

Dalam beberapa bahan yang saya teliti baru-baru ini – termasuk risalah kesedaran bertajuk “Pemerkasaan OKU: Adakah Kita Benar-Benar Sudah Berubah?” dan “Tidak Mudah Hidup Sebagai OKU di Malaysia” – satu mesej jelas berulang kali ditegaskan: hak bukan bantuan, pemerkasaan bukan janji, tetapi tindakan.
Slogan “Nothing About Us Without Us” turut digunakan untuk menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan OKU wajar dibuat bersama OKU, bukan untuk OKU semata-mata.
Saya amat bersetuju dengan pandangan ini. Sudah lama masyarakat kita membezakan antara “kebajikan” – iaitu soalan “apa yang boleh kerajaan berikan kepada OKU?” – dengan “pemerkasaan” – iaitu soalan “apa yang perlu diubah dalam sistem supaya OKU mempunyai keupayaan, akses, pilihan dan kuasa untuk menentukan kehidupan mereka sendiri?”
Selagi kita hanya berlegar pada soalan pertama, selagi itulah OKU akan terus dilihat sebagai penerima, bukan pemegang hak.
Fenomena ini turut terpancar dalam struktur birokrasi negara kita hari ini. Isu OKU sering dianggap seolah-olah tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta JKM semata-mata. Pada hemat saya, pendekatan ini keliru.
OKU bukan isu kebajikan sahaja – ia isu hak, pembangunan dan penyertaan dalam seluruh kehidupan bernegara. Justeru, sudah tiba masanya setiap kementerian menetapkan bajet khusus untuk hak dan pemerkasaan OKU, bukan sekadar peruntukan kecil berlabel “untuk OKU”.

Kementerian Pendidikan wajar memperuntukkan bajet untuk pendidikan inklusif dan aksesibiliti sekolah; Kementerian Kesihatan untuk rehabilitasi dan teknologi bantuan; kementerian sumber manusia untuk peluang pekerjaan dan job coach; Kementerian Pengangkutan untuk pengangkutan awam yang benar-benar boleh diakses; kementerian perumahan dan kerja raya untuk reka bentuk sejagat (universal design) pada bangunan, jalan dan ruang awam; Kementerian Pengajian Tinggi untuk kampus yang aksesibel; malah agensi berkaitan pilihan raya turut perlu memastikan OKU boleh mengambil bahagian dalam proses demokrasi secara setara.
Namun peruntukan sahaja tidak memadai. Setiap kementerian wajar menunjukkan rantaian yang jelas: bajet, program, sasaran, outcome dan impak. Bukan sekadar mendakwa “RM50 juta diperuntukkan untuk OKU”, tetapi menjelaskan berapa ramai yang benar-benar mendapat manfaat, apakah halangan yang berjaya dihapuskan, dan sejauh mana hak itu telah direalisasikan dalam kehidupan seharian mereka.
Sekiranya pendekatan ini diperluaskan kepada Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun-tahun mendatang, saya percaya kita akan mula melihat perubahan – daripada sekadar menempatkan OKU di ruang penonton, kepada melibatkan mereka sejak peringkat peranancangan hinggalah penyertaan sebenar dalam perbarisan.
Kembali kepada persoalan perarakan Merdeka tadi. Saya berpandangan, tawaran menjadi khalayak di Dataran Istana Kehakiman itu boleh dilihat sebagai satu langkah kecil, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi noktah kepada perbincangan tentang kedudukan OKU dalam sambutan kenegaraan.
Adakah mustahil untuk kita melihat, pada tahun-tahun mendatang, sebuah kontinjen OKU yang berbaris megah di Dataran Putrajaya – bukan sebagai simbol belas kasihan, tetapi sebagai representasi sebuah komuniti yang turut berjasa dan berhak dalam pembinaan negara ini?
Sudah 69 tahun kita merdeka. Ramai OKU ingin turut serta, ingin dilihat, ingin didengari – bukan sekadar sebagai tetamu yang ditempatkan di sudut dataran, tetapi sebagai warga yang turut memiliki cerita kemerdekaan ini. Jika kesejahteraan sememangnya mahu “dinikmati” sepertimana tema tahun ini, bukankah sudah sepatutnya kenikmatan itu turut dirasai secara setara oleh mereka yang selama ini hanya diundang menonton dari tepi jalan?
MOHD FUDZAIL MOHD NOR seorang orang kurang upaya (OKU), penulis dan pemenang anugerah sastera, pernah berkhidmat di TV3 serta bertugas sebagai ketua pegawai operasi (CEO) dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





