Seorang lagi pemimpin Umno membidas kerajaan dengan mempersoalkan status siasatan berhubung skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa menteri dan Adun Sabah.
Dalam satu kenyataan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata, isu itu semakin panas dan seolah-olah dibiarkan berlarutan di media sosial.
Mohd Puad juga membandingkan kes berkenaan dengan pertuduhan rasuah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak dan timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
"Apakah ini ketelusan bentuk baru? Rakyat keliru kenapa lambat buat pertuduhan.
"Kalau kes Najib, Zahid dan pemimpin Umno lain begitu cepat pertuduhan dibuat. Rakyat mahu tahu apa status kes ini? SPRM atau Pejabat Peguam Negara mesti tampil beri penjelasan," tambah Mohd Puad.
Speaker Dewan Undangan Negeri Johor itu merujuk kepada pendedahan seorang pemberi maklumat yang mendakwa memberi rasuah kepada beberapa pemimpin negeri di Sabah.
Ahli perniagaan itu mendedahkan beberapa klip video yang menunjukkan perbualan dengan wakil rakyat berkenaan yang didakwa mengaku menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonannya mendapatkan lesen carigali mineral di Sabah.
Mengulas lanjut, Mohd Puad juga mennyindir pejabat peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak bermain sorok-sorok.
"Mungkin juga pejabat AG dan SPRM tidak mahu dituduh buat pertuduhan tergesa gesa, beracun dan dendam. Takut pisang berbuah dua kali.
"Tetapi apakah itu alasannya. Atau ada alasan lain? Jangan main sorok-sorok. Daripada perkara ini dibiarkan berterusan panas di media sosial, lebih baik SPRM dan Peguam Negara mohon mahkamah buat “gag order”," sindirnya.
Khamis lalu, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin semasa perbahasan di Dewan Rakyat menimbulkan kebimbangan mengenai status siasatan pihak berkuasa dalam skandal berkenaan.
Dia berkata orang ramai khususnya rakyat Sabah perlu diberi penjelasan dan tidak dibiarkan tertanya-tanya mengenai kes itu.
“Kami rakyat Sabah mahu tahu sampai bila perkara ini akan berlarutan. Adakah polis dan SPRM akan siasat ke akar umbi. Adakah unsur-unsur rasuah atau tak ada?
"Kalau tak ada, umumkan pada rakyat, mesti dinoktahkan. Kalau tak video ini akan viral dan viral sampai bila-bila," katanya.





